Hormati ‘terus-terang’ Shamsul, Hassan beritahu PKR

Hormati ‘terus-terang’ Shamsul, Hassan beritahu PKR

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata bekas naib presiden PKR hanya berterus-terang mengenai peristiwa lalu.

Ahli Parlimen Hassan Karim kata Shamsul Iskandar Akin hanya berterus-terang mengenai peristiwa lama, yang beliau ingatkan sudah berlalu.
PETALING JAYA:
PKR diseru menghormati cerita Shamsul Iskandar Akin mengenai keputusan PRU15 bagi Parlimen Bagan Datuk, walaupun tindakan terus-terang setiausaha politik kanan kepada Anwar Ibrahim itu menimbulkan ‘masalah sampingan’.

Menyifatkan Shamsul sebagai ahli politik berpengalaman, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata bekas naib presiden PKR itu hanya berterus-terang mengenai peristiwa dua tahun lalu.

“Hormatilah apa yang Shamsul ucapkan dengan semua pihak perlu bersedia menghadapi kesannya. Berani kerana benar. Kalau ucapannya menimbulkan masalah sampingan, maka tidak perlu panik,” kata Ahli Parlimen dua penggal itu.

“Hadapilah dengan tenang,” katanya kepada FMT, mengulas teguran Setiausaha Agung Fuziah Salleh susulan cerita Shamsul dalam satu program audio siar baru-baru ini.

Shamsul ketika diwawancara mendakwa beliau tidak mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Bagan Datuk, yang menyaksikan beliau tewas kepada Zahid dengan majoriti senipis 348 undi, supaya kerajaan dapat dibentuk melalui kerjasama dengan Umno.

Fuziah hari ini berkata adalah tidak wajar bagi sesiapa pun membawa naratif sendiri, memandangkan kerajaan perpaduan merupakan titah Yang di-Pertuan Agong pada masa itu.

Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said turut menegur Shamsul supaya menghormati proses demokrasi dan berjiwa besar menerima keputusan pilihan raya.

Hassan percaya perkembangan ini tidak mencacatkan kerjasama antara parti kerajaan perpaduan.

“Namun, jika PKR atau kepimpinan parti nak buat ‘damage control’, boleh tetapi jangan berbohong. Shamsul bukan ahli politik baru atau amatur… dia berpengalaman luas dan kini orang kanan Anwar,” katanya.

Beliau menambah semua pihak dalam kerajaan perpaduan mahu beransur daripada peristiwa lama, selepas dua tahun mentadbir bersama.

“Tempoh halal kerajaan ini pun tinggal dua tiga tahun saja lagi… semuanya sudah berlalu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.