Dr M masuk IJN, perbicaraan saman fitnah tangguh

Dr M masuk IJN, perbicaraan saman fitnah tangguh

Peguam bekas perdana menteri beritahu mahkamah anak guamnya dimasukkan ke IJN malam tadi kerana jangkitan paru-paru.

tun mahathir mohamad
Dr Mahathir Mohamad ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Isnin lalu untuk perbicaraan saman fitnah terhadap Zahid Hamidi.
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan saman fitnah Dr Mahathir Mohamad terhadap Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi ditangguhkan ke 29 Okt kerana bekas perdana menteri dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Peguamnya, Mior Nor Haidir Suhaimi, memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong bahawa anak guamnya dimasukkan ke IJN malam tadi kerana jangkitan paru-paru.

“Anak guam saya akan cuti sakit hingga 25 Okt,” katanya kepada Gan.

Surat daripada seorang pakar kardiologi IJN menyatakan Mahathir, 99, dirawat di hospital kerana jangkitan saluran pernafasan bawah.

Sejak Isnin lalu, Mahathir berada di kandang saksi dan disoal balas oleh peguam Zahid, Shahrul Fazli Kamaruzman.

Gan membatalkan perbicaraan dijadualkan hari ini dan esok. Perbicaraan akan disambung pada 29 dan 30 Okt.

Mahkamah juga menetapkan tiga hari pada Disember untuk Zahid memberi keterangan.

Mior Nor berkata, anak Mahathir, Mukhriz akan menjadi saksi kedua bagi pihak plaintif.

Mahathir memfailkan saman terhadap Zahid selepas timbalan perdana menteri mengeluarkan dakwaan merujuk nama ‘Kutty’, di mana menurut Mahathir bertujuan menghinanya.

Dalam penyataan tuntutan, beliau mendakwa Zahid membuat kenyataan penghinaan itu dalam Mesyuarat Umno Bahagian di Kelana Jaya, Selangor, pada 30 Julai 2017.

Dakwanya, kenyataan itu seolah-olah dirinya bukan dilahirkan sebagai Melayu atau Muslim, dan nama sebenarnya adalah ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.

Ia juga merujuk nama ‘Mahathir Mohamad’ digunakan bagi kepentingan diri dan politik.

Dalam pembelaan, Zahid berkata nama dirujuknya berdasarkan salinan maklumat individu melibatkan kad pengenalan lama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.