CMCF bangun garis panduan kandungan berkait bunuh diri

CMCF bangun garis panduan kandungan berkait bunuh diri

Ia dibangunkan dengan kerjasama pemain industri, pejuang kesihatan mental, pengamal perubatan dan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Negara.

handphone
Kementerian Komunikasi memaklumkan garis panduan itu antara lain bertujuan menggalakkan amalan kandungan bertanggungjawab, dan untuk mengetahui maklumat serta keperluan mengelakkan mudarat. (Gambar Freepik)
KUALA LUMPUR:
Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) sedang membangunkan garis panduan pelaporan dan perkongsian kandungan berkaitan bunuh diri secara beretika.

Kementerian Komunikasi menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat memaklumkan, usaha itu dilakukan dengan kerjasama pemain industri, pejuang kesihatan mental, pengamal perubatan dan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Negara (NCEMH).

Garis panduan berkenaan antara lain bertujuan menggalakkan amalan kandungan bertanggungjawab yang seimbang antara hak masyarakat untuk mengetahui maklumat dan keperluan mengelakkan mudarat.

CMCF juga memaklumkan bahawa mereka menjalankan kerjasama erat dengan penyedia perkhidmatan seperti Meta dalam menjalankan program Creators IRL, bertujuan melengkapkan pencipta kandungan dengan pengetahuan, alat dan pengalaman bagi menangani ancaman dalam talian dan menghasilkan kandungan selamat dan bermanfaat.

“Perkongsian kandungan berkaitan bunuh diri secara bertanggungjawab dan kepentingan kesihatan mental dalam mengharungi dunia dalam talian turut menjadi sebahagian daripada modul CMCF untuk program itu,” menurut jawapan bertulis itu.

Ia bagi menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai rancangan kementerian untuk turut bekerjasama dalam inisiatif tiga syarikat media sosial terbesar iaitu Meta, Snap dan Tiktok bersama The Mental Health Coalition dalam membentuk satu inisiatif dipanggil Thrive bagi membendung kandungan bunuh diri dan berkaitan kesihatan mental.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.