Penasihat media Khazanah dilantik ketuai komunikasi strategik PMO

Penasihat media Khazanah dilantik ketuai komunikasi strategik PMO

Mohammed Shazalli Ramly juga ditugaskan menambah baik pelaksanaan kempen Malaysia Madani.

Mohammed Shazalli Ramly dilantik sebagai penasihat media dan komunikasi strategik Pejabat Perdana Menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penasihat Media Khazanah Nasional Bhd Mohammed Shazalli Ramly dilantik sebagai penasihat media dan komunikasi strategik Pejabat Perdana Menteri berkuat kuasa semalam.

Beliau menggantikan bekas ketua pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu akibat serangan jantung.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan ketika mengumumkan pelantikan itu berkata Shazalli juga ditugaskan untuk menambah baik pelaksanaan kempen Malaysia Madani.

Sebelum ini, beliau menyandang jawatan pengarah bukan eksekutif AirAsia X Bhd selain dilantik pengarah urusan kumpulan Boustead Holdings Bhd pada Disember 2020 hingga Disember 2022.

Beliau pernah bertugas sebagai ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan Telekom Malaysia Bhd bagi tempoh April 2017 hingga Jun 2018 dan berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif serantau dan naib presiden eksekutif korporat Axiata Group Bhd pada September 2016 hingga Mac 2017.

Shazalli adalah lulusan sarjana pentadbiran perniagaan St Louis University, Missouri dan ijazah sarjana muda sains (pemasaran) Indiana University Bloomington di Amerika Syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.