‘Elak spekulasi, tumpu kestabilan’, Azalina tegur pegawai kanan Anwar

‘Elak spekulasi, tumpu kestabilan’, Azalina tegur pegawai kanan Anwar

Shamsul Iskandar Md Akin mendakwa diarah tidak mencabar keputusan PRU15 dimana beliau tewas kepada Zahid Hamidi di Bagan Datuk dengan majoriti 348 undi.

Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said berkata Shamsul Iskandar Md Akin perlu memberi tumpuan kepada kestabilan politik dan tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan rakyat.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said meminta Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin menghormati proses demokrasi dan berjiwa besar menerima keputusan pilihan raya.

Teguran itu dibuat selepas Shamsul dalam satu siaran podcast mendakwa diarah tidak mencabar keputusan PRU15 di Parlimen Bagan Datuk yang menyaksikan beliau tewas kepada Zahid Hamidi dengan majoriti tipis 348 undi.

Bekas Ahli Parlimen PKR itu mendakwa, Anwar Ibrahim mengarahkan beliau untuk tidak membuat kiraan semula walaupun terdapat kira-kira 800 undi rosak, supaya kerajaan dapat dibentuk melalui kerjasama dengan Umno, yang dipimpin Zahid.

“Sebagai ahli politik yang berpengalaman, kita sewajarnya bertindak dengan penuh tanggungjawab, terutama ketika berbicara soal keputusan pilihan raya bagi memelihara integriti politik,” kata Azalina di Facebook.

Azalina berkata Shamsul seharusnya menggunakan saluran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengemukakan bantahan sebagai gambaran komitmen terhadap integriti dan profesionalisme politik.

“Dalam hal ini, saya berpendapat Zahid, Ahli Parlimen Bagan Datuk serta semua Ahli Parlimen Barisan Nasional mempunyai keyakinan penuh terhadap proses demokrasi dan bersedia menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh pengundi,” katanya.

Justeru, Azalina yang juga menteri undang-undang dan reformasi institusi meminta Shamsul memberi tumpuan kepada kestabilan politik dan tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan.

“Kerana ia hanya akan mencetuskan spekulasi yang tidak wajar dan ini tentunya akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap sistem demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia,” katanya.

Sementara itu, anak Zahid, Nurulhidayah turut mengkritik kenyataan Shamsul itu yang disifatkan beliau sebagai ‘halusinasi’.

“Bila seseorang merasakan terpaling tahu dan terpaling hero, keluarlah pengakuan halusinasi.

“Kalau macam tu BN dan PKR boleh keluarkan surat untuk mohon SPR siasat dan saman sebab kenyataan bodoh ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.