Bomba selamat 21 murid Tabika Kemas Hulu Klang dari banjir

Bomba selamat 21 murid Tabika Kemas Hulu Klang dari banjir

Terdahulu tular video di media sosial menunjukkan murid Tabika Kemas berdiri di atas meja selepas kelas mereka dinaiki air.

banjir sekolah
Tangkap layar video tular menunjukkan murid Tabika Kemas Hulu Klang berdiri di atas meja selepas kelas mereka dinaiki air akibat banjir pada pagi tadi.
PETALING JAYA:
Jabatan Bomba menyelamatkan 21 murid di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Jalan Hulu Klang, Ampang selepas premis itu dinaiki air banjir pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.28 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sampai dilokasi kejadian pihaknya mendapati empat buah rumah berhampiran tabika itu juga dinaiki air susulan hujan lebat.

“Penghuni rumah diarahkan berpindah ke balai penghulu berhampiran dan semua 21 kanak-kanak itu berjaya dibawa ke kawasan selamat.

“Semua murid Tabika Kemas diserahkan kepada ibu bapa masing-masing. Terdapat empat guru di premis tabika berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular satu video di media sosial menunjukkan beberapa murid tabika berdiri di atas meja dengan sebahagian daripada mereka menangis ketika kelas dinaiki air.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.