
Ketuanya Chong Fat Full berkata jika pihaknya ‘ada undi’ bermakna wujud layanan sama rata dengan sayap lain dalam Bersatu.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan berbeza bagi Bersekutu dengan sayap lain memandangkan ia bawah kawal selia jawatankuasa pengurusan.
“Sayap Bersekutu ‘direct’ pada bahagian tanpa melalui cawangan, tapi sayap lain menerusi cawangan kemudian menghantar wakil pada bahagian.
“Disebabkan sifat ‘direct’ itu kami jadi ‘sangkut’. Kalau dibenarkan (undi) bermakna ‘lompat terus’ dari ahli kepada bahagian,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu, menambah pihaknya perlu meneliti isu tersebut.
Chong berkata, dijangka ‘satu arahan’ akan dikeluarkan sebelum 2 Nov sama ada kebenaran mengundi diberikan kepada Bersekutu dan bilangan yang boleh mengambil bahagian jika hasrat itu kesampaian.
Sayap Bersekutu Bersatu ditubuhkan secara rasmi pada 2021 dan terdiri ahli bukan Bumiputera. Mereka hanya boleh bertanding untuk merebut jawatan dalam sayap itu.
Terdahulu, Chong yang mempertahankan jawatan ketua sayap itu bagi penggal 2024-2027 mengumumkan barisan ahli jawatankuasa Bersekutu.
Jawatan naib ketua dimenangi Ketua Penerangan Sanjeevan Ramakrishnan, manakala 15 ahli jawatankuasa baharu turut diumumkan.
“Kebolehan dan kepimpinan semua exco mahupun pimpinan yang dipilih ini diyakini mampu membawa sayap Bersekutu ke tahap lebih tinggi.
“Kami komited memikul tanggungjawab penting untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu dengan cara adil dan bertanggungjawab, tanpa memainkan fitnah,” kata Chong.