6 negeri dilanda bah, Selangor terbaharu

6 negeri dilanda bah, Selangor terbaharu

Tiga PPS dibuka di Hulu Selangor dan Hulu Langat petang tadi.

banjir
Fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini mengakibatkan banjir melanda Kedah, Perak, Johor, Melaka, Pahang, dan Selangor.(Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) menyaksikan Selangor menjadi negeri terbaru dilanda banjir dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka petang ini, manakala jumlah mangsa di Pahang meningkat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JPBN) Selangor memaklumkan tiga PPS itu dibuka di dua daerah melibatkan Hulu Selangor dan Hulu Langat.

JPBN memaklumkan PPS Balai Raya Kampung Alah Batu yang dibuka semalam menempatkan 29 mangsa daripada lapan keluarga, manakala dua lagi PPS baru sahaja dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim dan SK Sungai Serai masih dalam peringkat bancian.

Di ibu negara, SMART Expressway menerusi laman Facebook memaklumkan Terowong Lebuh Raya SMART yang ditutup sepenuhnya kepada pengguna susulan hujan lebat di bandar raya sejak awal pagi tadi, telah dibuka sepenuhnya kepada pengguna petang ini.

Tinjauan menerusi laman sesawang Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat (KLCCC) pada 5 petang, sebanyak 52 jalan di kawasan Kuala Lumpur dalam keadaan baik, selain aliran trafik lancar.

Terdahulu pagi tadi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (BDKL) memaklumkan beberapa kawasan di sekitar ibu kota yang dinaiki air adalah disebabkan taburan hujan sangat tinggi melebihi 60mm per jam dan bacaan hujan di stesen hujan pusat bandar adalah melebihi 114mm per jam.

Menurut DBKL, hujan lebat bermula sekitar 8.30 pagi dan berterusan menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air berikutan limpahan sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang, dan Sungai Gombak.

Kawasan terjejas antaranya Jalan Pantai Baharu, Jalan Parlimen (Bulatan Dato’ Onn) dan Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Travers, Jalan Damansara (bawah jejambat Semantan), Jalan Ledang, Jalan Segambut, Jalan Genting Klang (berhadapan Shell dan Universiti Tunku Abdul Rahman), Jalan Sultan Azlan Shah, dan Jalan Sultan (Petaling Street).

Sementara itu, situasi banjir di Pahang menunjukkan jumlah mangsa meningkat kepada 1,415 orang daripada 417 keluarga ditempatkan di tujuh PPS, berbanding 1,282 mangsa daripada 373 keluarga yang berlindung di enam PPS pagi tadi.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan menempatkan 668 orang, SK Desa Bakti (566), SK Bukit Cermin (75), SK Lanchang (36), Balairaya Mempateh (30) serta Masjid Kampung Bongsu, dan SK Mentakab masing-masing menempatkan 20 orang.

Bah di Perak, Kedah, Melaka, dan Johor

Sementara itu di Perak, jumlah mangsa berkurangan kepada 1,013 orang daripada 320 keluarga setakat 4 petang, berbanding 1,682 orang daripada 528 keluarga pagi tadi membabitkan lima daerah iaitu Kerian, Kuala Kangsar, Muallim, dan Hilir Perak.

“Setakat ini di daerah Kerian mangsa masih ditempatkan di SK Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman, Bagan Serai membabitkan 104 orang daripada 34 keluarga, manakala di Hilir Perak kekal satu PPS dibuka di Dewan Serbaguna Padang Tembak melibatkan 69 orang daripada 25 keluarga,” menurut kenyataan itu.

Di Kuala Kangsar, tiga PPS masih dibuka melibatkan SK Lasah, Dewan Pandak Hamid, Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong di Sungai Siput dan SMK RLKT Lasah membabitkan 766 orang daripada 242 keluarga.

Di Kedah, jumlah mangsa di empat daerah terjejas berkurangan kepada 1,387 orang daripada 438 keluarga setakat 4 petang, berbanding 1,490 orang daripada 482 keluarga pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata kesemua mangsa ditempatkan di 11 PPS, dengan daerah Baling mencatat jumlah tertinggi iaitu 639 orang daripada 220 keluarga di empat PPS.

“Di daerah Kota Setar, sebanyak 390 orang daripada 121 keluarga ditempatkan di empat PPS, Pendang terdapat 353 orang daripada 95 keluarga di dua PPS dan Pokok Sena sebanyak lima orang daripada dua keluarga di satu PPS,” katanya dalam kenyataan.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir yang merupakan penduduk Kampung Kilang Berapi dan Lubok Buaya di Jasin berkurangan kepada 212 orang melibatkan 70 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 243 orang melibatkan 81 keluarga pada 8 malam tadi.

Sekretariat JPBN Melaka, memaklumkan kesemua mangsa terjejas ditempatkan di empat PPS yang dibuka di daerah itu iaitu SMK Dang Anum, SK Serkam Darat, SK Tedong dan SMK Dato Abdul Rahman Ya’kob.

Mangsa banjir di Johor turut menunjukan trend menurun dengan hanya 15 penduduk daripada dua keluarga ditempatkan di PPS SK Seri Bunut, Batu Pahat hingga 4 petang ini berbanding 197 orang daripada 56 keluarga pada pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Azmi Rohani, berkata tiga PPS ditutup dengan Dewan Kampung Murni Jaya di Kulai ditutup pada 9 pagi dan dua lagi PPS di Kluang iaitu SK Seri Kampung Renggam serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Layang-Layang ditutup pada 2 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.