RUU Mufti tak libat Malaysia Timur, NGO diberitahu usah ‘teruja’

RUU Mufti tak libat Malaysia Timur, NGO diberitahu usah ‘teruja’

Menteri Sarawak ulas bantahan 14 NGO Sabah dan negeri itu yang suarakan bantahan ke atas RUU Mufti.

Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata undang-undang Islam adalah bidang kuasa negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
NGO di Malaysia Timur tidak perlu ‘begitu teruja’ menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 kerana ia tidak melibatkan Sarawak atau Sabah.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata RUU itu hanya terpakai di Wilayah Persekutuan, mengambil kira undang-undang Islam menjadi bidang kuasa negeri.

“Di Malaysia, undang-undang Islam adalah bidang kuasa negeri. Ini adalah Rang Undang-undang Syariah Wilayah Persekutuan, yang belum lagi menjadi undang-undang.

“Sekiranya RUU ini dipersetujui oleh majoriti wakil, Ahli-ahli Parlimen, ia hanya akan meliputi Wilayah Persekutuan, mengapa NGO ini begitu teruja terhadap RUU ini, mengatakan ia akan mengislamkan Sarawak dan Sabah?

“Ia tidak akan diguna pakai di Sarawak dan Sabah, kenapa perlu mengulas atau memberi komen mengenai perkara ini,” katanya menurut Utusan Borneo selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan di Kuching.

Karim, yang juga naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengulas tindakan sekumpulan 14 NGO dari Sabah dan Sarawak menyuarakan bantahan terhadap RUU itu.

Baru-baru ini, NGO berkenaan mendakwa RUU itu melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan merupakan serangan langsung terhadap sistem sekular.

Sebelum ini, dakwaan itu turut disangkal Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan memberi jaminan ia tidak akan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam.

Katanya, RUU berkenaan cerminan kepada Enakmen Fatwa Sabah, yang berkuat kuasa sejak 20 tahun lalu, tetapi ia tidak pernah mengganggu budaya dan gaya hidup rakyat negeri itu.

RUU mufti dijangka dibentang untuk perbahasan di Dewan Rakyat bulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.