Mufti Perlis ajak menteri agama berdialog isu RUU Mufti Wilayah

Mufti Perlis ajak menteri agama berdialog isu RUU Mufti Wilayah

Mohd Asri Zainul Abidin meminta media rasmi kerajaan memberi ruang kepadanya berdialog dengan Mohd Na'im Mokhtar.

Mohd Asri Zainul Abidin berkata orang ramai boleh menyaksikan sendiri Mohd Na’im Mokhtar mempertahankan ideanya berhubung RUU Mufti Wilayah menerusi dialog dicadangkannya.
PETALING JAYA:
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mempelawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berdialog berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan.

Mohd Asri turut meminta media rasmi kerajaan memberi ruang kepadanya berdialog dengan Mohd Na’im supaya rakyat dapat menilai kemampuan menteri itu.

“Menteri agama sepatutnya membawa agenda keluasan dan kesederhanaan selaras dengan idea Madani.

“Malangnya beliau seakan membawa negara ini ke kancah kafir-mengkafir, sesat menyesatkan seperti pernah dilakukan Ibn Tumart.

“Apa kata jika media rasmi kerajaan memberi ruang saya berdialog dengan menteri agama secara terbuka disaksikan rakyat tanda beliau berupaya mempertahankan ideanya? katanya.

Sebelum ini Mohd Na’im dilaporkan berkata RUU itu akan dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga dalam sidang parlimen yang bermula hari ini selepas mendapat persetujuan Kabinet.

RUU tersebut dikatakan digubal bagi memperkukuhkan institusi kefatwaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan, selain hanya terhad untuk orang Islam sahaja.

Mohd Na’im turut menjelaskan penggubalan RUU itu sebahagian usaha kerajaan memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman bagi undang-undang diri orang Islam, seterusnya menjamin hak-hak keadilan kepada umat Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.