Kerajaan tawar ahli GISH program rehabilitasi sukarela

Kerajaan tawar ahli GISH program rehabilitasi sukarela

Pendaftaran program percuma yang akan dijalankan selama tiga bulan itu dibuka mulai hari ini hingga 14 Nov, menurut MKN.

Timbalan Ketua Pengarah MKN Baharuddin Ahmad (dua dari kanan) bercakap pada sidang media mengenai program rehabilitasi sukarela bagi ahli GISBH di Pejabat MKN Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menawarkan program rehabilitasi secara sukarela kepada ahli Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) yang masih bebas di negara ini untuk mereka kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Baharuddin Ahmad mengalu-alukan ahli organisasi itu, tanpa mengira usia dan jantina, mendaftar bagi program tiga bulan itu, yang dibuka hari ini hingga 14 Nov.

Katanya, program secara berfasa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu bermatlamat memberikan bimbingan secara lebih sistematik membabitkan isu akidah.

Selain itu, katanya, program itu bertujuan memastikan ahli GISBH mampu meneruskan kelangsungan hidup dan berasimilasi dengan masyarakat selepas tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap mereka.

Langkah ini selaras dengan prinsip insan yang menjadi pegangan kerajaan Madani, iaitu peserta program ini tidak akan dilihat sebagai pesalah, sebaliknya dianggap mangsa.

Ahli GISBH yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian atau mengimbas kod QR yang disediakan selain hadir ke mana-mana pejabat agama Islam negeri, pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan di IPD di seluruh negara.

“MKN mempunyai jentera yang mencukupi agar data peserta yang berdaftar untuk program ini dijalankan secara sistematik dan lancar,” kata Baharuddin dalam sidang media di Pejabat MKN Kuala Lumpur hari ini.

“Ahli yang menerima ancaman atau ugutan kerana ingin menyertai program ini disarankan membuat laporan polis bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.”

Turut hadir, Ketua Pengarah MKN Raja Nurshirwan Zainal Abidin, Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee dan Pengarah Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak Dr Sopian Ibrahim.

Baharuddin berkata, MKN dilantik untuk menerajui program rehabilitasi itu selaras dengan peranannya sebagai agensi pusat yang bertanggungjawab dalam isu keselamatan selain bagi menyelaras kerjasama antara pelbagai kementerian dan agensi kerajaan untuk menjayakan program itu.

Antara kementerian dan agensi yang terlibat termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar dan polis selain jabatan agama Islam negeri seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka yang mendaftar akan disaring bagi tujuan logistik sebelum dihantar ke lebih 20 pusat rehabilitasi yang telah ditetapkan di seluruh negara mengikut zon utara, selatan, tengah, Sabah dan Sarawak.

Mereka yang berada di luar negara juga boleh mendaftar untuk menyertai program itu dan MKN serta Jakim akan memikirkan langkah seterusnya, tambahnya.

Berdasarkan siasatan polis, organisasi itu mempunyai cawangan di 19 buah negara, antaranya di Sydney, New York serta Bosnia and Herzegovina.

Burhanuddin berkata, pihaknya akan memastikan peserta tidak diasingkan daripada keluarga masing-masing sepanjang menjalani program itu, serta akan disediakan makanan, kelengkapan dan tempat tinggal yang selesa secara percuma.

“Semasa mengikuti program ini, mereka akan diberikan pemulihan daripada aspek akidah, syariah, pendidikan, kesihatan, kenegaraan serta latihan kemahiran dan kemudian akan dinilai oleh pegawai penilai Jakim selepas 90 hari atau kurang. Peserta juga akan diberikan bimbingan susulan jika diperlukan.

“Kerajaan bersungguh-sungguh mahu ahli GISBH pulih daripada masalah akidah dan kelangsungan hidup agar dapat bersama dengan masyarakat dengan lestari melalui penganjuran program rehabilitasi ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.