Kerajaan salur geran RM39.74 bilion kepada 1MDB

Kerajaan salur geran RM39.74 bilion kepada 1MDB

Menurut laporan audit geran itu bertujuan melunaskan prinsipal dan perbelanjaan lain termasuk faedah bon serta bayaran kupon.

1mdb
Menurut Laporan Ketua Audit Negara, kerajaan persekutuan menyalurkan geran berjumlah RM39.74 bilion kepada 1MDB bagi tempoh 2019 hingga 2023. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan persekutuan menyalurkan geran berjumlah RM39.74 bilion kepada 1MDB bagi tempoh 2019 hingga 2023.

Geran itu bertujuan melunaskan prinsipal dan perbelanjaan lain, termasuk faedah bon serta bayaran kupon, menurut Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023.

“Selain pelunasan tersebut, kerajaan persekutuan perlu menyediakan peruntukan berjumlah RM9.46 bilion,” menurut laporan itu.

“Ia terdiri daripada sejumlah RM5.0 billion bagi prinsipal Sukuk Islamic Medium Term Notes (IMTN) yang akan matang pada Mei 27, 2039, dan RM4.46 bilion bagi bayaran kupon IMTN bagi tempoh 2024 sehingga 2039 (15 tahun 6 bulan).”

Menurut laporan itu, kerajaan persekutuan perlu membuat pelunasan bayaran kupon IMTN sebanyak RM287.50 juta setahun.

Laporan itu turut mengesyorkan agar kerajaan persekutuan mendapatkan aset berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd daripada pelbagai pihak, termasuk dalam dan luar negara.

Kerajaan persekutuan juga disyor menggunakan dana tersebut bagi menampung perbelanjaan balik hutang 1MDB dan SRC, serta perbelanjaan hutang lain.

“Ini kerana memandangkan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AAMKA) akan ditutup selewat-lewatnya pada 2028 seperti ditetapkan dalam Arahan Amanah AAMKA,” kata laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.