Hubungan dengan PAS penentu siapa ketua Pemuda Bersatu?

Hubungan dengan PAS penentu siapa ketua Pemuda Bersatu?

Seorang pemimpin enggan dikenali mendakwa majoriti ahli Pemuda mahu kejayaan kerjasama dengan PAS pada PRU15 dan PRN diteruskan untuk menghadapi PRU16.

Hilman Idham dan Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir akan merebut jawatan ketua Pemuda Bersatu pada pemilihan bulan depan.
PETALING JAYA:
Kerjasama dan hubungan dengan Pemuda PAS dikatakan menjadi pertimbangan utama perwakilan Bersatu memilih ketua baharu sayap itu, dakwa seorang pemimpinnya.

Menurut seorang pemimpin sayap itu yang enggan dikenali mendakwa majoritinya mahu keberkesanan kerjasama dengan PAS pada PRU15 dan PRN di enam negeri diteruskan untuk menghadapi PRU16.

Pada dua pilihan raya November 2022 dan Ogos 2023, PAS dan Bersatu menyumbang 74 kerusi untuk Perikatan Nasional (PN) dengan majoritinya di kawasan pengundi Melayu selain merampas pentadbiran Perlis dan mengekalkan pentadbiran Kedah, Kelantan serta Terengganu.

Namun, sumber itu mendakwa wujud kebimbangan hubungan mesra antara jentera Pemuda PAS dan Bersatu akan retak jika Adun Gombak Setia Hilman Idham yang didakwa berada dalam kem Ketua Bersatu Selangor Azmin Ali menang pada pemilihan bulan depan.

“Tengoklah pada PRK Kuala Kubu Bharu dan Mahkota yang diketuai Azmin, ada Pemuda PAS turun secara agresif? Tak ada… sebab mereka tak berapa ‘berkenan’ dengan kem itu.

“Ramai bimbang jika Pemuda PAS boikot secara halus jentera Pemuda PN terutama di kawasan kerusi ditandingi Bersatu pada PRU16 nanti,” katanya kepada FMT.

Hilman, wakil rakyat dua penggal Gombak Setia ditentang Pengerusi Tetap Pemuda Akmal Zahin Zainal Zahir pada pemilihan bulan depan.

Salah seorang daripadanya akan menggantikan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang tidak mempertahankan kerusi itu kerana melepasi had usia dan menawarkan diri bertanding kerusi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Sementara itu, seorang lagi pemimpin sayap Bersatu pula berkata pemilihan ketua mereka cukup penting kerana dapat mempengaruhi hala tuju parti pada masa depan termasuk tanpa terlalu bergantung kepada PAS.

“Memang diakui kerjasama erat dengan PAS itu perlu memandangkan mereka parti lama dan berpengalaman, tetapi Bersatu pun kena ada pemimpin pelapis yang hebat.

“Tak boleh terlalu tunduk dengan PAS, seiring bergerak tiada masalah,” kata pemimpin enggan dinamakan yang membayangkan peranan itu boleh dibuat oleh Hilman.

Semalam, FMT melaporkan Wan Fayhsal berkata penggantinya mesti bersih, bebas skandal dan tidak menjadi liabiliti sehingga menjejaskan serta menyebabkan parti kalah pada PRU.

Ahli Parlimen Machang yang memegang jawatan itu sejak 2020 juga menggariskan penggantinya boleh bekerjasama baik dengan Pemuda PAS selain lantang dan berani menandingi seteru daripada Umno Dr Akmal Saleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.