
Menurut pemfailan Bursa Malaysia, GAI dinamakan dalam aduan yang difailkan oleh RAV Bahamas di mahkamah daerah AS di selatan Florida, disampaikan pada 11 Okt.
Aduan itu melibatkan operasi Resorts World Bimini di Bahamas.
“GAI berpandangan, aduan itu tidak berasas, tiada merit sama sekali dan (kami) akan bersungguh-sungguh mempertahankan (diri),” kata GENM.
Menurut pemfailan itu, Resorts World Bimini dimiliki dan dikendalikan oleh BB Entertainment Ltd, yang 78% kepentingannya dipegang secara tidak langsung oleh GENM, manakala RAV Bahamas memegang baki 22%.
GAI ialah syarikat berkait BB Entertainment.
Portal berita Bahamas, The Tribune melaporkan, GAI pada dasarnya dituduh menggunakan 78% pemilikan majoritinya, bersama kawalan lembaga dan pengurusan, untuk menyembunyikan bagaimana ia menyalurkan liabiliti bernilai ratusan juta dolar daripada lokasi lain dalam empayar globalnya ke dalam akaun Resorts World Bimini.
The Tribune melaporkan, RAV Bahamas mendakwa GAI ‘sengaja menggagalkan’ percubaannya memahami keadaan kewangan sebenar Resorts World Bimini dengan menghalang ‘akses penuh’ kepada rekod kewangan lokasi itu dan seruannya agar audit bebas dijalankan.
Menurutnya, penyata kewangan BB Entertainment mendedahkan, projek itu secara konsisten mengalami kerugian tahunan berjumlah puluhan juta dolar sejak RAV Bahamas bekerjasama dengan GENM kira-kira 12 tahun lepas pada 2012.