
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob, berkata langkah itu dapat mengurangkan birokrasi dan pesawah mempunyai lebih banyak pilihan serta kawalan terhadap penggunaan subsidi tersebut.
“Sekarang, proses itu berlaku dengan kaedah lama, sudah pasti ada masalah yang timbul. Jadi, kita minta kerajaan teliti selari arus permodenan seperti Touch ‘n Go.
“Jadi, semua petani dapat memilih sendiri input pertanian yang sesuai dengan keperluan mereka,” katanya kepada FMT.
Pada masa sama, Rashid menggesa kerajaan mempercepatkan pemberian diesel bersubsidi (fleet card) kepada pesawah yang dapat membantu mengurangkan kos penggunaan jentera seperti pam air dan mesin tuai.
Pesawah, Mohd Naim Firdaus Osman, 32, meminta kerajaan menyemak semula harga lantai belian padi sejajar kenaikan harga beras di pasaran dunia.
“Wajar dinaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,800 per tan. Harga beras di pasaran dunia meningkat, tetapi pesawah tidak menikmati kenaikan harga yang sama.”
Pada September 2023, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) melaporkan harga beras antarabangsa meningkat hampir 10% antara Julai hingga Ogos tahun lalu, kenaikan tertinggi dalam tempoh 15 bulan.
Firdaus juga berharap peruntukan pengurusan seperti infrastruktur, saluran air dan sungai dapat memberi manfaat langsung kepada pesawah kerana mereka masih menanggung beban akibat sistem pengairan tidak cekap.
Pesawah yang hanya mahu dikenali Mat Isa, 60, kecewa dengan insentif menunggu padi masak RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan yang sepatutnya dibayar April, Mei dan Jun lalu, belum diterima sehingga kini.
“Ini menunjukkan kelemahan pihak kerajaan dalam menunaikan janji.”
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu mengumumkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,300 per tan bagi meningkatkan pendapatan pesawah.