
Taktik licik itu dikesan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang merampas 41,000kg buah kelapa bernilai RM205,000 menerusi Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata sebuah treler dipandu seorang lelaki ditahan di sekatan jalan raya Neting di Pengkalan Kubor, Tumpat pada 10.15 malam kelmarin.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 41,000kg buah kelapa tanpa dokumen sah dipercayai untuk diseludup ke Thailand dalam lori itu.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 4(2)(b) Akta Fama 141 Rancangan Pemasaran Kelapa 1973 dan barang rampasan diserahkan kepada Komtak Pengkalan Kubor,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, kebanyakan kegiatan menyeludup kelapa bergiat aktif di Pengkalan Kubor dan stor haram di kawasan Pulau Ular sehingga Nibong digunakan untuk menyimpan bekalan.
Katanya, selepas mendapati keadaan selamat, penyeludup akan menghantar kelapa menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok secara berperingkat.
Menurutnya, kelapa antara barangan biasa diseludup ke Thailand, dengan lebih 200 tan rampasan melebihi RM1 juta dilakukan sepanjang tahun ini.
“PGA akan terus mempergiatkan usaha mengekang kegiatan penyeludupan berleluasa di sempadan negara.”