Pengganti saya mesti bersih, bebas skandal, kata Wan Fayhsal

Pengganti saya mesti bersih, bebas skandal, kata Wan Fayhsal

Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal menegaskan ketua Pemuda Bersatu yang baharu juga boleh bekerjasama dengan Pemuda PAS.

Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal yang dipilih ketua Pemuda Bersatu pada 2020 tidak mempertahankan jawatan itu kerana melebihi had usia kelayakan.
PETALING JAYA:
Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata penggantinya sebagai ketua Pemuda Bersatu mesti bersih, bebas skandal dan tidak menjadi liabiliti sehingga menjejaskan serta menyebabkan parti kalah pada PRU.

Ahli Parlimen Machang yang memegang jawatan itu sejak 2020 juga menggariskan penggantinya boleh bekerjasama baik dengan Pemuda PAS selain lantang dan berani menandingi seteru daripada Umno Dr Akmal Saleh.

Bekas timbalan menteri belia dan sukan itu tidak mempertahankan jawatan kerana melebihi had usia kelayakan. Kerusi berkenaan bakal menjadi rebutan Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir dan Adun Gombak Setia Hilman Idham pada pemilihan bulan depan.

Adun Gombak Setia Hilman Idham dan Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir akan merebut jawatan ketua Pemuda Bersatu pada pemilihan bulan depan.

“Silap pilih kita khuatir peluang Bersatu dan PN menang PRU16 terjejas akibat liabiliti ditanggung parti dan penyokong kita.

“Jadi saya nampak sesiapa saja yang menjadi ketua Armada (Pemuda) atau (duduk) dalam MPT perlu benar-benar bersih daripada sebarang skandal, integritinya baik supaya bila nak lawan Anwar (Ibrahim), dia berani nak tegur,” kata Wan Fayhsal dalam wawancara bersama FMT.

“Anak muda hari ini juga tak suka pemimpin ada bebanan, mereka mahu yang berintegriti dan benar-benar faham budaya masyarakat kita.”

Bagi mengelakkan pertembungan tajam, Wan Fayhsal berkata secara prinsipnya ahli dan pemimpin Pemuda Bersatu bersetuju mencalonkan Akmal Zahin sebagai penggantinya, bagaimanapun tidak menghalang sesiapa ingin bertanding.

Katanya, kerjasama dengan Pemuda PAS perlu mendapat komitmen tinggi seperti dilakukannya sejak 2020 sehingga mewujudkan jentera mantap, menyaksikan mereka mencatat keputusan cemerlang di kerusi majoriti pengundi Melayu pada PRU15.

“Jentera Pemuda PN saya bina bersama Pemuda PAS selama empat tahun tidak mempunyai sebarang rasa curiga dan kepercayaan tinggi…saya dah bekerjasama dengan tiga ketua Pemuda PAS sejak di Armada (Pemuda), hasilnya dapat kemenangan besar pada PRU15.

“Jadi nak cipta budaya kerja baik ini perlukan masa dan orang berintegriti yang Pemuda PAS tidak rasa sangsi bawa bersama dalam kempen,” katanya.

Beliau juga bimbang pemilihan pemimpin bermasalah menyebabkan sukar menjaga pengundi teras PN iaitu Melayu konservatif di kalangan pengundi PAS, Bersatu dan pengundi protes Umno.

“Kalau pengundi teras ini kami gagal pegang sebab tak percaya dengan susuk kepimpinan yang bermasalah, kesannya kalah dalam PRU,” katanya.

Agresif tarik pengundi muda Melayu

Wan Fayhsal yang dikenali dengan kelantangannya membawa isu nasional dan rakyat di Parlimen berkata, penggantinya perlu berani menandingi seteru mereka termasuk Pemuda Umno yang dipimpin Akmal.

“Saya harap (ketua Pemuda baharu) boleh duduk sama tinggi dengan Akmal sebab kami cuba menarik segmen pengundi sama iaitu anak muda Melayu, jadi perlu orang mempunyai wawasan dan visi melawan kerajaan menindas.

“Tak cukup sekadar melalak serta tembak rambang sebaliknya mesti ada strategi, menjuarai dan menjadi jurubicara rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.