Tanah runtuh, 2 kenderaan hampir masuk tebing sungai

Tanah runtuh, 2 kenderaan hampir masuk tebing sungai

Kejadian berlaku di Taman Lembah Maju, Ampang susulan hujan lebat yang melanda petang tadi.

tebing runtuh
Keadaan tebing runtuh di Taman Lembah Maju di Ampang petang tadi yang menyebabkan dua kenderaan hampir jatuh ke dalam tebing sungai. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Dua kenderaan hampir jatuh ke dalam tebing sungai akibat kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat di Taman Lembah Maju, Ampang petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 7.14 petang.

Katanya, seramai tujuh anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat tanah runtuh di tebing sungai yang ketinggian 10 meter.

“Kejadian itu menyebabkan dua kenderaan masing-masing sebuah lori pikap serta sebuah kereta jenis Proton Wira hampir jatuh ke dalam tebing sungai,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun katanya, kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa.

“Operasi diserahkan kepada pihak polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.