
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, berkata ketiga-tiga premis itu diarah tutup serta-merta mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dalam Operasi Sarap yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan negeri di sekitar Melaka Tengah semalam.
“Bagi premis menjual popia itu, Jabatan Kesihatan negeri mengeluarkan lima notis dengan tawaran kompaun RM1,600 kerana melanggar Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009, antaranya Peraturan 33, iaitu kebersihan diri pengendali makanan dan Seksyen 11 kewajipan am tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan.
“Notis kompaun berkenaan dikeluarkan kerana terdapat urungan najis tikus, bahan mentah diletak bersebelahan tong sampah tidak bertutup, tempat membungkus popia berselerak dengan bahan boleh menyebabkan pencemaran kepada makanan, semua pekerja tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE) semasa proses makanan dan pekerja memakai perhiasan diri semasa mengendalikan makanan,” katanya di sini, lewat malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di sekitar Bukit Baru yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr Noor Aizam Mohd Said.
Ngwe berkata, dua lagi premis ditutup ialah kedai menjual sarapan pagi di Ayer Leleh dan Durian Daun.
Secara keseluruhan, 24 premis makanan diperiksa dalam Operasi Sarap dan 56 notis dikeluarkan dengan kompaun sebanyak RM16,200 mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Saya menasihati pengusaha kedai makanan tidak kira yang meniaga di warung atau restoran perlu sentiasa memastikan aspek kebersihan dan kesihatan diutamakan kerana Melaka merupakan negeri pelancongan dan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kita tidak mahu berlaku insiden keracunan makanan melibatkan sama ada rakyat tempatan atau pelancong yang berkunjung ke negeri ini serta pemantauan secara berkala akan dilaksanakan secara berterusan oleh Jabatan Kesihatan negeri.”
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 1,638 premis di seluruh Melaka, antaranya kedai makan, premis perniagaan, kedai runcit, premis kerajaan, kedai vape, dobi dan stesen minyak diperiksa mengikut Akta 852 dalam tempoh 11 hari akta itu dikuatkuasakan bermula 1 Okt lepas.
Bagaimanapun, katanya, tiada kesalahan dikesan atau tindakan dikenakan dalam 42 operasi, sebaliknya anggota penguat kuasa hanya memberi amaran berbentuk literasi kepada pemilik.
“Namun, tindakan penguatkuasaan dilakukan melibatkan enam kesalahan bawah Seksyen 16 (2), iaitu merokok di kawasan larangan merokok di tempat makan dan satu kesalahan bawah Seksyen 17(1), iaitu merokok bagi orang belum dewasa.”