
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata tindakan itu hanya akan menimbulkan salah faham dan menghalang usaha kerajaan mengukuhkan pentadbiran Islam.
Menurutnya, dakwaan serta kekeliruan sesetengah pihak terhadap fungsi dan kuasa mufti di bawah sistem perundangan negara perlu diperbetulkan.
“Saya sekali lagi ingin menjelaskan iaitu RUU Mufti digubal bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan di wilayah-wilayah persekutuan sahaja.
“RUU ini memperuntukkan 9 bahagian iaitu bahagian permulaan, mufti dan timbalan mufti, jawatankuasa fatwa, pengeluaran fatwa, penentuan kiblat, jawatankuasa falak syarie, jawatankuasa rukyah hilal, jawatankuasa pengawasan pengajaran agama Islam dan perunding akidah dan pelbagai.
“Menerusi RUU Mufti, pengasingan kuasa antara jabatan agama Islam, mufti dan mahkamah syariah akan kelihatan lebih jelas. Pentadbiran keadilan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah dan hukum syarak di bawah bidang kuasa mufti akan ditadbir oleh akta berasingan,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Na’im mengesahkan RUU Mufti akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen bermula 14 Okt ini.
Beliau berkata dakwaan kononnnya RUU terbabit akan menggugat kebebasan warganegara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan adalah tidak benar.
“Selain itu, perlu difahami bahawa sesuatu fatwa yang diwartakan di bawah RUU Mufti ini adalah mengikat orang Islam sahaja serta terhad di bawah bidang kuasa negeri selaras dengan butiran 1 Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan.
“Malah, sebelum fatwa itu boleh mengikat, ia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat majlis agama Islam terlebih dahulu. Dalam pada itu, fatwa juga tidak boleh bercanggah dengan mana-mana undang-undang bertulis,” katanya.