Jangan hipokrit, banyak tinggalan penjajah kamu guna, Puad bidas PAS

Jangan hipokrit, banyak tinggalan penjajah kamu guna, Puad bidas PAS

Kelmarin PAS Johor berkata penukaran cuti hujung minggu diumumkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail adalah peninggalan penjajah.

puad
Ahli MKT Umno Puad Zarkashi berkata umat Islam sekian lama melaksanakan ibadat semasa bekerja termasuk berpuasa.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno membidas PAS sebagai hipokrit, selepas parti itu mendakwa cuti hujung minggu di Johor yang ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula Januari tahun depan adalah peninggalan penjajah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi, berkata banyak peninggalan penjajah yang PAS sendiri terima dan guna pakai terutama dalam sistem politik dan pentadbiran negara.

“PAS jangan hipokrit. Perlembagaan negara adalah peninggalan penjajah (Lord Reid). Tetapi itu tidak menyekat syiar dan syariat Islam berkembang pesat.

“Islam tetap agama persekutuan. Justeru kenapa politikkan isu cuti hari Ahad? Ia tidak membabitkan akidah seseorang,” katanya di Facebook.

Menurut Puad yang juga Adun Rengit, umat Islam sekian lama melaksanakan ibadat semasa bekerja termasuk berpuasa.

“Pejabat tidak perlu ditutup sepanjang bulan Ramadan. Apa guna cuti jika tidur sehingga terlepas solat Jumaat. Apa pun peraturan selagi maslahah Islam terpelihara maka jangan putar belit,” katanya.

Kelmarin, PAS Johor berkata penukaran cuti hujung minggu diumumkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail adalah peninggalan penjajah, sambil menegaskan pemerintah sepatutnya mengutamakan Jumaat.

Tunku Ismail kemudian menjelaskan perubahan cuti hujung minggu itu mengikut kehendak rakyat, dan jika terdapat pihak kurang senang dengan keputusan berkenaan, ‘boleh berpindah ke negeri lain yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu’.

Pada 7 Okt lalu, Tunku Ismail mengumumkan cuti hujung minggu di Johor akan kembali kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Jan tahun depan.

Pada 2014, cuti hujung minggu Johor ditukar kepada Jumaat dan Sabtu susulan titah Sultan Ibrahim.

Selain Johor, negeri melaksanakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ketika ini ialah Kedah, Terengganu, dan Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.