GISBH: 1 lagi didakwa kes amang seksual kanak-kanak esok

GISBH: 1 lagi didakwa kes amang seksual kanak-kanak esok

Lelaki berusia 20 tahun itu berdepan dua pertuduhan bagi kesalahan jenayah seksual membabitkan seorang remaja berusia 16 tahun.

razarudin
Menurut Ketua Polis Negara Razarudin Husain, tiga lagi individu juga akan dihadapkan ke mahkamah esok atas pertuduhan mengikut Seksyen 12 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007.
KUALA LUMPUR:
Seorang lagi individu yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di Johor pada 8.30 pagi esok.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata lelaki berusia 20 tahun itu berdepan dua pertuduhan bagi kesalahan jenayah seksual membabitkan seorang remaja berusia 16 tahun.

“Lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dia ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor pada 1 Okt lepas setelah menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa suspek melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya sebanyak dua kali pada Jun lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata tiga lagi individu termasuk seorang wanita juga akan dihadapkan ke mahkamah sama esok atas pertuduhan mengikut Seksyen 12 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Razarudin berkata suspek, yang berusia lingkungan 28 hingga 57 tahun dan bekerja di pusat peranginan milik GISBH, didapati memperdagang empat individu berusia lingkungan 30 hingga 57 tahun bagi tujuan eksploitasi kerja paksa dengan ancaman.

Seorang suspek yang berusia 28 tahun juga akan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana disyaki menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

“Keputusan pendakwaan dilakukan selepas kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 7 Okt lepas dan hasil perbincangan dalam mesyuarat penyelarasan tindakan Jenayah Terancang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) semalam,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek juga didapati mengeksploitasi mangsa dengan cara mengaturkan perkahwinan paksa, menjodohkan mangsa dengan individu peringkat atasan selain tidak dibenar menggunakan telefon bimbit dan pasangan suami isteri hanya boleh berjumpa sekali atau dua kali dalam sebulan.

Khamis lepas, 16 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata setakat ini, 58 individu ditahan di bawah akta itu sejak Op Global dilaksana pada September lepas.

Beliau berkata sepanjang tempoh operasi itu dilaksanakan, sebanyak 415 individu ditahan dan 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan oleh pihak polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.