‘Gimik tutup malu’, Bersatu dibidas mahu pengundi saksi petisyen Nenggiri

‘Gimik tutup malu’, Bersatu dibidas mahu pengundi saksi petisyen Nenggiri

Umno Kelantan berkata pemimpin Bersatu tidak perlu buang masa fail petisyen PRK Nenggiri kerana rakyat buat keputusan pilih Adun baharu daripada BN.

prk nenggiri
PRK Nenggiri 17 Ogos lalu dimenangi BN menerusi Azmawi Fikri Abdul Ghani dengan majoriti 3,352 undi menewaskan Mohd Rizwadi Ismail daripada PN.
PETALING JAYA:
Harapan Bersatu supaya penduduk atau pengundi tampil sebagai saksi bagi membolehkannya memfailkan petisyen PRK DUN Nenggiri hanya gimik politik untuk menutup malu, bidas Umno Kelantan.

Ketua Penerangan, Zawawi Othman, berkata pemimpin Bersatu tidak perlu membuang masa memfailkan petisyen PRK itu kerana rakyat Nenggiri sudah membuat keputusan memilih Adun baharu daripada Barisan Nasional (BN).

Zawawi Othman
Zawawi Othman.

“Ini (minta saksi tampil bantu fail petisyen) hanya gimik politik murahan untuk menutup malu atas kekalahan berturut-turut Bersatu dalam PRK (Nenggiri dan Mahkota).

“Sememangnya lumrah manusia yang mahu meletakkan kesalahan kepada orang lain atau lawan (BN) atas kelemahan atau kegagalan mereka…seperti gesaan Bersatu Kelantan mahu pengundi Nenggiri tampil jadi saksi untuk mereka buat petisyen sedangkan hampir dua bulan PRK berlalu,” katanya kepada FMT.

Zawawi bagaimanapun tidak menghalang jika pemimpian Bersatu bertegas mencabar keputusan PRK itu kerana demokrasi membenarkannya.

Pada 9 Okt lalu media melaporkan Ketua Bersatu Kelantan, Kamarudin Md Nor, berkata sehingga kini tiada pihak tampil menjadi saksi menyebabkan petisyen PRK DUN Nenggiri tidak dapat dilakukan.

“Petisyen ini boleh dilakukan dalam tempoh enam bulan selepas berlangsungnya PRK dan kita ada masa sehingga Februari tahun depan. Walaupun peluang untuk memfailkan petisyen itu adalah tipis, kita masih berharap ada saksi berani tampil dalam tempoh yang ada ini,” katanya.

Pada 21 Ogos Kamarudin berkata PN sedang mengumpul bukti untuk memfailkan petisyen DUN Nenggiri dimenangi calon BN Azmawi Fikri Abdul Ghani, 17 Ogos lalu.

Katanya, segala maklumat dikumpul termasuk dakwaan wujud sogokan dan ugutan kepada pengundi sepanjang kempen PRK berlangsung.

PRK Nenggiri dimenangi Azmawi dengan majoriti 3,352 undi menewaskan Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.