
Presiden Majlis Belia Malaysia Izzat Afifi Abdul Hamid berkata cadangan itu seiring dengan tumpuan dan sasaran besar kerajaan untuk program terbabit menerusi penyaluran peruntukan besar bernilai lebih RM6 bilion menerusi Belanjawan 2024.
“Oleh itu pembiayaan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran juga perlu ditingkatkan, pada 2023 dan 2024, RM180 juta telah disalurkan.
“Perlu tambah lagi bagi menyokong inisiatif TVET yang giat dilaksanakan kerajaan,” katanya kepada FMT.
Pada Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengumumkan RM6.8 bilion bagi memperkasakan bidang TVET, antaranya RM100 juta bagi menyediakan pensijilan profesional diiktiraf industri.
Sementara itu, RM1.6 bilion untuk menyediakan 1.7 juta tawaran latihan menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad.
Izzat berkata MBM turut meminta kerajaan melaksanakan segera pemberian RM500 kepada belia terlibat program kesukarelaan dan memperluaskannya kepada kategori umur 18-30 tahun.
Menurutnya, turut dicadangkan latihan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran khusus berkaitan ekonomi hijau dalam mempersiap orang muda ke arah pekerjaan kalis masa hadapan.
“Kerajaan juga perlu menubuhkan dengan kadar segera Suruhanjaya Pekerja Gig yang telah diumumkan tapi masih belum terlaksana supaya kebajikan pekerja gig dapat terpelihara.
“Ini termasuklah mewujudkan dengan kadar segera Akta khusus bagi melindungi pekerja gig,” katanya.
Tuntutan lain termasuk menambah peruntukan untuk program Rakan Muda dan dana membabitan kesihatan mental untuk mencegah masalah tekanan daripada meningkat.