
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu dinamakan ketua Wanita baharu Bersatu selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan parti bulan depan apabila penyandang Rina Harun tidak mempertahankan jawatan.
Tanpa menafikan peranan pemimpin terdahulu, Mas Ermieyati berkata tiba masa Wanita Bersatu yang dikenali sebagai Srikandi tampil ‘garang’ dalam menjuarai isu rakyat terutama menjadi ejen pendesak kepada pucuk pimpinan parti supaya kerajaan melaksanakan dasar dan polisi menguntungkan rakyat.
Beliau berkata, fokusnya adalah menjadikan sayap Wanita mempunyai suara yang boleh memberi impak dan pendesak kepada pemerintah.
“Terlalu banyak isu bukan sahaja soal ekonomi, kesihatan dan banyak lagi yang menghimpit rakyat bawah kerajaan hari ini.
“Sayang kalau Srikandi tak ambil peluang menjuarai isu ini dengan membicarakan dan memberi solusi supaya kerajaan bertindak dan mengambil cadangan yang akan diperjuangkan dalam membela nasib rakyat,” kata naib ketua Wanita Bersatu dalam wawancara bersama FMT.
Mas Ermieyati juga tidak mahu Wanita Bersatu menjadi ‘juara’ dalam kalangan ahlinya sahaja tetapi kepada rakyat.
“Lapan tahun tak banyak orang tahu berkenaan Srikandi Bersatu, jadi saya nak dalam tempoh mengemudi Srikandi ini nanti saya dapat melahirkan lebih ramai yang dikenali mempunyai portfolio pelbagai latar belakang boleh dijadikan contoh baik dan rujukan oleh rakyat,” katanya.
Katanya, walaupun banyak usaha dilakukan pimpinan sebelum ini dalam memperkasakan parti, beliau tidak menolak Wanita Bersatu masih tenggelam dalam menjuarai isu rakyat terutama dalam melakukan kritikan segera kepada kerajaan membabitkan perkara besar.
Menurutnya, sayap itu perlu menjadikan perkara membabitkan wanita, keluarga dan kanak-kanak sebagai titik perjuangan selain isu lain seperti ekonomi dan antarabangsa.
“Sebab itu penting untuk kepimpinan Srikandi latih, didik mereka (ahli) menjadi suara kepada rakyat…pendesak kepada kepimpinan parti untuk bawa isu, diketengahkkan dan suarakan kepada kerajaan,” katanya.
Bagi tujuan itu, Mas Ermieyati berkata beliau memerlukan exco yang benar-benar bekerja dalam waktu senang atau susah dan mempunyai pemikiran terbuka supaya Wanita Bersatu lebih relevan kepada rakyat, bukan parti semata-mata.
“Kita tak mahu muka cantik semata-mata, kita nak mereka boleh mewakili semua golongan. Kita ada profesional, seni, usahawan, pendidik, wanita muda boleh bersama Srikandi supaya kita main peranan berkesan kepada rakyat,” katanya.