
Ketua Bersatu Batu Kawan itu akan berdepan dua penyandang, Ronald Kiandee dan Radzi Jidin, selain Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu, Ketua Penerangan Razali Idris dan Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah.
Aziss mengakui berdepan nama besar yang antaranya pernah menjadi menteri dan menteri besar mungkin ‘menipiskan’ peluangnya, namun baginya, kata putus akhir terletak pada perwakilan.
“Saya serahkan kepada perwakilan buat keputusan akhir,” katanya kepada FMT.

Menafikan dirinya ingkar terhadap parti kerana tidak menuruti ‘petua’ Presiden Muhyiddin Yassin berhubung proses pemilihan, beliau berkata, beliau bertanding hanya untuk ‘suburkan demokrasi dalam Bersatu’.
“Lagipun saya layak bertanding (ikut perlembagaan dan syarat),” katanya menambah, sekalipun kalah, beliau akan kekal dalam Bersatu.
Bagi Aziss, pemilihan Bersatu bersifat kekeluargaan, bukan berdepan lawan seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya.
Julai lepas, Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau diberi mandat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk berunding dengan barisan kepimpinan bagi memastikan pemilihan parti tidak menimbulkan perpecahan.
Menerusi suatu pelan kompromi, Muhyiddin kekal menerajui Bersatu, dibantu Hamzah Zainudin sebagai timbalannya, manakala Kiandee dan Radzi, selain Ahmad Faizal dicadangkan mengisi tiga kerusi naib presiden.
Selepas pencalonan dimuktamadkan minggu lepas, Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding, manakala enam calon merebut tiga kerusi naib presiden termasuk Razali, Rafiq serta Aziss yang berada di luar senarai ‘pelan kompromi’ terbabit.