Saya tak pernah arah Azilah, Sirul bunuh Altantuya, kata Najib

Saya tak pernah arah Azilah, Sirul bunuh Altantuya, kata Najib

Bekas PM itu turut menegaskan, beliau tidak pernah bertemu wanita Mongolia itu.

Najib Razak dan Tommy Thomas
Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa reputasinya terjejas oleh penerbitan kenyataan berunsur fitnah dalam buku Tommy Thomas berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
SHAH ALAM:
Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini beliau tidak pernah mengarahkan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, untuk membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Najib berkata, beliau juga tidak pernah bertemu wanita Mongolia berkenaan dan pengakuan itu telah direkodkan dalam akuan bersumpah dan sumpah laknat beberapa kali, sekali gus menafikan beliau dalang di sebalik pembunuhan kejam itu.

“Pada masa itu, saya memegang jawatan timbalan perdana menteri. Saya tidak pernah bertemu dengannya dan saya juga tidak terlibat dalam jenayah ini. Saya mengenali Abdul Razak Baginda. Beliau penganalisis pertahanan yang bekerja bawah pentadbiran saya pada masa itu. Begitulah saya mengenalinya.

“Beliau terlibat dalam membeli kapal selam daripada syarikat Perancis, yang melibatkan perjanjian berbilion dolar untuk negara,” katanya.

Najib, 71, berkata demikian ketika disoal peguamnya, Shafee Abdullah, berkaitan saman fitnah yang difailkannya terhadap Tommy Thomas dan GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd atas dakwaan menerbitkan kenyataan berbaur fitnah dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Ketika ditanya mengenai Altantuya, Najib berkata: “Beliau sememangnya bukan seorang daripada mereka yang berada di peringkat atasan perjanjian berkenaan.

“Seperti yang saya tahu daripada laporan media, beliau seorang penterjemah. Saya tidak tahu butiran hubungan mereka, tetapi kemudiannya saya mengetahui mereka mempunyai hubungan romantik.”

Beliau berkata, sebagai penulis buku itu, Thomas yang merupakan bekas peguam negara sepatutnya mengesahkan fakta sebelum meneruskan penerbitan buku itu.

“Dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1MDB, Thomas ialah peguam negara pada masa itu, yang membawa pertuduhan terhadap saya,” katanya.

“Dia menulis buku itu selepas meninggalkan Jabatan Peguam Negara, mendakwa saya menjadi dalang di sebalik pembunuhan itu. Ia diterbitkan oleh defendan kedua dan diedarkan di dalam dan luar negara.

“Jelas sekali beliau mahu mencemarkan reputasi saya di mata umum, kerana itu saya didakwa menjadi dalang di sebalik pembunuhan itu. Integriti dan reputasi saya telah terjejas dengan tuduhan tidak berasas ini.”

Prosiding di hadapan Hakim Khadijah Idris akan disambung pada 30 Jun tahun depan.

Pada 2021, bekas ahli parlimen Pekan itu memfailkan saman terhadap Thomas yang didakwa menulis dan menerbitkan buku mengaitkannya dengan pembunuhan itu.

Najib mendakwa kenyataan fitnah itu memberi gambaran beliau mengarahkan Azilah dan Sirul untuk membunuh Altantuya dan Thomas mengelirukan orang ramai mengenai pembunuhan itu.

Najib yang mendakwa reputasinya terjejas oleh penerbitan kenyataan berunsur fitnah itu menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan terhadap kedua-dua defendan dan memohon perintah supaya defendan mengeluarkan kenyataan fitnah daripada buku itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.