Jangan keruhkan keadaan, kata MB berkait cuti Johor

Jangan keruhkan keadaan, kata MB berkait cuti Johor

Onn Hafiz Ghazi berkata cuti yang ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun depan tidak wajar dijadikan bahan politik.

onn
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri berpandangan tidak semua perkara perlu dijadikan bahan politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berharap tidak ada lagi pihak membuat spekulasi, kenyataan dan menjadikan cuti hujung minggu Johor sebagai bahan politik yang boleh mengeruhkan keadaan sehingga menjejaskan keharmonian.

Beliau berkata, cuti ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun depan tidak wajar dijadikan bahan politik kerana setiap keputusan diambil adalah yang terbaik untuk negeri dan rakyat Johor secara keseluruhan.

Katanya, kerajaan negeri menjunjung titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas pengumuman penukaran cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad pada 7 Okt lalu.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri berpandangan tidak semua perkara perlu dijadikan bahan politik,” katanya di Facebook.

Malam tadi, Tunku Ismail bertitah cuti hujung minggu di Johor yang ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun depan adalah kehendak rakyat untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata perkara tersebut mendapat pandangan mufti dan exco agama negeri, dengan ketinggian Islam tidak sedikit pun berkurang bila Johor tidak lagi bercuti pada Jumaat bermula Januari 2025.

“Insya-Allah, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat Jumaat, kerajaan negeri yakin keputusan ini bakal memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor, di mana mereka akan mendapat lebih masa berkualiti bersama ahli keluarga tersayang dengan memudahkan mereka merancang aktiviti pada hujung minggu.

“Saya berharap tidak ada lagi mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi, kenyataan dan menjadikan ia bahan politik yang boleh mengeruhkan keadaan sehingga menjejaskan keharmonian negeri Johor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.