Bawa balik Malbatt atau tidak tunggu keputusan Unifil, kata menteri

Bawa balik Malbatt atau tidak tunggu keputusan Unifil, kata menteri

Khaled Nordin berkata pihaknya menunggu keputusan bersama dibuat Unifil sama ada membawa pulang pasukan Malbatt 850-11 yang terlibat misi pengaman di Lubnan.

Lebanon Israel Evacuation Warnings
Dua anggota pengaman Indonesia cedera dalam serangan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di selatan Lubnan, semalam. (Gambar AP/Hussein Malla, File)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertahanan sentiasa meletakkan soal keselamatan anggota sebagai keutamaan termasuk memantau pasukan Malbatt 850-11 yang terlibat misi pengaman di Lubnan.

Menteri Khaled Nordin berkata buat masa ini pihaknya sentiasa berkomunikasi secara berterusan bagi mendapatkan laporan mengenai keselamatan pasukan itu.

“Kita punya markas angkatan bersama yang memang bertanggungjawab terhadap Malbatt kita. Malbatt 850-11 bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif ‘Perajurit Broadband’ di Auditorium Kementerian Pertahanan.

Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Panglima Angkatan Tentera Mohammad Ab Rahman.

Khaled berkata demikian ketika ditanya tahap keselamatan Malbatt selepas dua anggota pengaman Indonesia cedera dalam serangan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di selatan Lubnan.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, mengesahkan anggota terbabut cedera ringan akibat tembakan kereta kebal IDF ketika mereka memantau dari menara pengawal di pangkalan kontinjen Indonesia di Naqoura, semalam.

Khaled berkata, pihaknya menunggu keputusan bersama dibuat Unifil sama ada membawa pulang pasukan Malbatt 850-11 yang terlibat misi pengaman di Lubnan.

Katanya, buat masa ini segala operasi kawalan sudah dihentikan.

Khaled Nordin dan Fahmi Fadzil dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif ‘Perajurit Broadband’ di Auditorium Kementerian Pertahanan. (Gambar Fail)

“Mereka sentiasa di dalam bunker (kubu/tempat perlindungan). Tiada aktiviti dijalankan. Buat masa ini Unifil belum buat keputusan (sama ada) dipindahkan. Mereka mesti duduk situ, kalau tidak ada cabaran-cabaran lain,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut Khaled berkata sebanyak RM99 juta diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) bersama Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata, ia termasuk mewujudkan infrastruktur fiber optik di semua 73 kem atau pangkalan, melibatkan 59,420 rumah keluarga angkatan tentera (RKAT).

Khaled turut melancarkan inisiatif ‘Perajurit Broadband’ yang menyediakan pakej langganan mampu milik serendah RM49 sebulan dengan kelajuan 100Mbps untuk anggota tentera.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan beliau memohon peruntukan tambahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memberikan harga khas RM39 sebulan selama enam bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.