Sultan Pahang titah Putrajaya pertimbang semula pembinaan R&R di LTU

Sultan Pahang titah Putrajaya pertimbang semula pembinaan R&R di LTU

Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah hentian rehat dan rawat itu penting untuk keselesaan pengguna Lingkaran Tengah Utama (LTU).

 Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap pihak sewajarnya dapat mempertimbangkan pembinaan hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU). (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Baginda bertitah keperluan R&R di lebuh raya berkenaan penting untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna sekali gus mengelak masalah pembuangan sampah serta kekotoran di pinggir jalan akibat ketiadaan kemudahan tandas.

“Keputusan untuk tidak melaksanakan satu daripada komponen penting dalam projek lebuh raya itu dilihat akan menyukarkan usaha penyelesaian beberapa isu berkaitan antaranya, keperluan asas orang ramai yang menggunakan lebuh raya berkaitan,” titah baginda dalam laman Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda berharap pihak berkaitan dapat memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur berkenaan bagi kepentingan orang ramai terutamanya ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

Sebelum ini, Kerajaan Pahang telah membuat permohonan R&R dapat dibina di LTU (dalam daerah Bentong) bagi memberi kemudahan kepada pengguna.

Bagaimanapun, R&R tersebut tidak diteruskan dengan alasan kos pembinaan mencecah dua kali ganda daripada kos asal walaupun ia berada dalam skop projek dan hanya penyediaan platform serta infrastruktur sahaja yang dilaksanakan.

Semalam, Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail meminta Ahli Parlimen dari Pahang untuk membangkitkan isu pembinaan R&R berkenaan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.