Bunuh anak 2 tahun, bapa terlepas hukuman mati

Bunuh anak 2 tahun, bapa terlepas hukuman mati

Hukuman M Murthy digantikan dengan penjara 40 tahun dengan 12 sebatan atas kesalahan membunuh anaknya pada 2007.

mahkamah
Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman mati M Murthy dan menggantikannya dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan bermula dari tarikh tangkap pada 9 Feb 2007.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati seorang lelaki kepada penjara 40 tahun dengan 12 sebatan, bagi kesalahan membunuh anak kandungnya, yang kemudian disumbat dalam sebuah beg pakaian sebelum dihanyutkan di sungai, 17 tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan M Murthy, 46, bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

“Mahkamah mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan bermula dari tarikh tangkap pada 9 Feb 2007,” kata Tengku Maimun ketika menyampaikan keputusan sebulat suara.

Dua lagi hakim turut bersidang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Nordin Hassan.

Pada 17 Dis 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Murthy kerana membunuh M Ruthren, berusia dua tahun sembilan bulan, di sebuah rumah di Klang pada 4.15 petang, 20 Jan 2007.

Hukuman mati itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Berdasarkan fakta kes, isteri Murthy, K Selvi selaku saksi pendakwaan ke-13 melihat lelaki itu memijak kepala mangsa yang sedang menangis sehingga muka kanak-kanak itu kebiru-biruan dan dia menjadi kejang.

Anak kedua mereka, yang berusia sembilan tahun ketika itu, melihat bapanya memukul, menendang serta memijak mangsa sehingga mati di ruang dapur rumah.

Dia turut melihat lelaki itu membungkus mangsa di dalam kain dan dimasukkan ke dalam beg sebelum keluar dari rumah menaiki motosikal.

Hasil siasatan mendapati Murthy mencampakkan beg itu ke longkang besar berhampiran Pelabuhan Klang sebelum mayatnya ditemukan oleh sekumpulan nelayan beberapa bulan kemudian di perairan Selat Melaka berhampiran Pulau Sembilan, Teluk Intan, Perak.

Berdasarkan laporan bedah siasat, mangsa mengalami patah tulang termasuk tulang hidung dan lebam di beberapa bahagian badan.

Terdahulu, peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili Murthy berkata, anak guamnya mengalami gangguan mental yang serius dan teruk, iaitu skizofrenia, dan gangguan kemurungan utama dengan ciri-ciri psikotik.

“Kami menggesa mahkamah menimbangkan hukuman alternatif yang mengambil kira keperluan kesihatan mental pemohon (Murthy), keupayaannya untuk berubah dan kepentingan keadilan.

“Keadaan mental pemohon menimbulkan keraguan serius tentang tahap kesalahannya dan keupayaannya untuk memahami sepenuhnya sifat dan akibat daripada tindakannya. Tiada hukuman mati sepatutnya dikenakan ke atas pemohon,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail yang membantah permohonan itu berkata, pemohon mengalami gangguan mental semasa menjalani hukuman, bukan ketika kejadian berlaku.

“Mangsa anaknya sendiri dan kejadian itu berlaku dengan disaksikan oleh seorang lagi anak lelakinya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.