
Azilah, 48, membuat permohonan itu susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori pada 4 Julai tahun lepas.
Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.
Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum sebanyak 12 kali.
Azilah disabitkan pada 2009 bersama seorang lagi bekas anggota polis iaitu Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Okt 2006 hingga 1 pagi esoknya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota polis itu.
Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan tersebut oleh mahkamah yang sama.
Azilah dan Sirul kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013. Bagaimanapun, pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati.
Sirul tidak hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana melarikan diri ke Australia pada 2006 di mana dia ditahan di bawah undang-undang Imigresen sebelum dibebaskan pada akhir tahun lepas.
Pada 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azilah untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya.
Media melaporkan bahawa Azilah turut memohon pengampuran diraja daripada Sultan Selangor.
Pada 2022, keluarga Altantuya menang dalam saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak serta kerajaan, dan Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan agar mereka dibayar ganti rugi sebanyak RM5 juta.
Kes itu masih di peringkat Mahkamah Rayuan.