MyRENTAS rekod hampir 2 juta pergerakan di BSI

MyRENTAS rekod hampir 2 juta pergerakan di BSI

Penggunaan MyRENTAS mengurangkan tempoh menunggu dari 120 minit kepada 15 mini bagi pengguna bas di laluan darat antara Malaysia dan Singapura pada waktu puncak.

causeway
Pada masa ini , pengembara menggunakan sistem kod QR menerusi aplikasi MyRENTAS di Bangunan Sultan Iskandar (BSI). (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Penggunaan sistem kod respons pantas (QR) menerusi aplikasi MyRENTAS di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini mulai 1 Jun lepas telah merekodkan hampir dua juta transaksi pergerakan pengguna.

Ketua Pegawai Operasi Jati Jana (M) Sdn Bhd Azril Rizal Abdullah berkata ia sekali gus berjaya mengurangkan tempoh menunggu bagi pengguna bas di laluan darat antara Malaysia dan Singapura itu pada waktu puncak iaitu dari 120 minit sebelum ini kepada 15 minit.

“MyRENTAS juga berjaya memendekkan masa pelepasan dari 30 ke 45 saat kepada kurang dari lima saat untuk seorang pengguna.

“Berdasarkan data statistik yang diperoleh, purata penggunaan MyRENTAS adalah 1:29, iaitu nisbah seorang pengguna menggunakan MyRENTAS sebanyak 29 kali sejak sistem ini diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata buat masa ini, pengembara menggunakan sistem kod QR menerusi aplikasi MyRENTAS di BSI, manakala aplikasi MyTRIP pula di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri.

Azril Rizal dalam pada itu berkata tempoh fasa pengujian daya maju atau bukti konsep (POC) keberkesanan pemeriksaan imigresen menggunakan sistem kod QR di BSI dan KSAB akan dilanjutkan sehingga November depan.

Beliau berkata ia bertujuan membolehkan Kementerian Dalam Negeri khususnya Imigresen melihat secara lebih mendalam keberkesanan sistem berkenaan dalam mempercepatkan proses pelepasan imigresen di pintu sempadan Malaysia-Singapura.

Pada 1 Jun lepas, Imigresen melancarkan MyRENTAS iaitu sistem kod QR rentas sempadan ke Singapura sebagai inisiatif jabatan itu bagi menangani masalah kesesakan di sempadan Malaysia-Singapura terutama di BSI dengan tempoh percubaannya adalah selama tiga bulan.

Sistem itu kemudiannya diberi lanjutan tempoh percubaan tiga bulan bermula September lepas yang merupakan antara inisiatif transformasi digital JIM bagi memudahkan rakyat Malaysia yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura setiap hari dengan sebahagian besarnya untuk bekerja.

Jati Jana merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan aplikasi MyRENTAS itu.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof sebelum ini dilapor berkata fasa pertama sistem kod QR itu melibatkan warganegara Malaysia di BSI dan KSAB bagi mod perjalanan bas dan motosikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.