
Ketua Pengarahnya Zakaria Shaaban berkata wakil suruhanjaya itu telah hadir ke ibu pejabat Imigresen untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dakwaan pelanggaran integriti oleh pegawainya.
“Imigresen menyerahkan kepada EAIC untuk menjalankan siasatan lanjut dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.
“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai terbukti melakukan salah laku,” katanya menerusi kenyataan.
“Tindakan tegas akan diambil, tanpa mengira pangkat atau jawatan.”
Hari ini, sebuah media memetik sumber melaporkan beberapa pegawai imigresen sedang disiasat selepas disyaki terlibat dalam ‘sindiket visa perubatan’ melibatkan warga asing.
Sindiket terbabit dikatakan membawa masuk warga asing dengan menyediakan visa perubatan kononnya mereka masuk ke negara ini atas tujuan mendapatkan perubatan namun bekerja secara haram.
Dianggarkan lebih 20,000 visa perubatan diluluskan tahun lalu membabitkan satu negeri sahaja dengan setiap individu dikenakan bayaran sekitar RM4,500.