
Pengerusi PPK Prasad Sandosham Abraham berkata mesyuarat yang bersidang buat pertama kalinya hari ini, turut akan mengesyorkan cadangan penambahbaikan tatakelola lokap, depot dan pusat tahanan kepada kerajaan dan entiti kawal selia berkaitan.
“Pelaksanaan PPK ini ditetapkan secara berperingkat selama enam bulan sehingga selesai yang melibatkan empat fasa tindakan iaitu tindakan lawatan ke lokap, depot dan pusat tahanan terpilih, pengemukaan maklum balas terperinci termasuk justifikasi terhadap pelaksanaan syor, penyediaan laporan dan pembentangan laporan kepada kerajaan.
“Laporan PPK ini diharap akan meningkatkan tatakelola lokap dan pusat tahanan dengan mengenal pasti kelemahan dalam sistem yang menyumbang kepada kematian dalam tahanan dan membantu kerajaan merumuskan polisi yang lebih baik, memastikan tanggungjawab pihak terlibat, serta meningkatkan kesedaran awam dan kerjasama antara agensi dalam menjaga hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan.
Prasad yang juga timbalan pengerusi EAIC berkata Laporan Jawatankuasa Kajian EAIC Terhadap Kes Kematian Dalam Tahanan dan Mengenal Pasti Langkah Pencegahan dibentangkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional pada 7 Mei lepas yang memutuskan untuk penubuhan PPK tersebut.
PPK turut dianggotai wakil daripada pelbagai kementerian, suruhanjaya dan agensi penguatkuasaan antaranya Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis dan Polis Diraja Malaysia.