Pandu kereta curi langgar polis, penganggur dipenjara 2 tahun

Pandu kereta curi langgar polis, penganggur dipenjara 2 tahun

Lee Soon Heng sedang menjalani hukuman penjara setahun selepas turut mengaku bersalah mencuri sebuah kereta sebelum ini.

mahkamah kuala lumpur
Tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana merempuh dan melanggar motosikal dua anggota polis ketika cuba ditahan bulan lalu.
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang penganggur yang mengaku salah merempuh dan melanggar motosikal dua anggota polis ketika cuba ditahan bulan lalu.

Lee Soon Heng, 45, yang kini menjalani hukuman penjara setahun selepas turut mengaku bersalah mencuri sebuah kereta (kenderaan sama digunakan merempuh polis), membuat pengakuan itu di depan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa daripada tarikh tangkapan 23 Sept lalu.

Lee didakwa memandu kereta dan merempuh serta melanggar dua motosikal ditunggang dua anggota polis berusia 36 dan 28 tahun yang boleh menyebabkan kematian, di lampu isyarat Jalan Segambut pada 12.50 tengah hari 23 Sept lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, Lee cuba ditahan dua anggota polis terbabit, sebelum merempuh mereka untuk melarikan diri.

Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kesalahan itu serius dan tertuduh memandu menggunakan kereta curi.

Bagaimanapun, peguam Simret Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon hukuman penjara minimum terhadap tertuduh dari keluarga kurang berkemampuan dan dia insaf atas perbuatannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.