Mangsa banjir di Johor, Melaka meningkat sedikit

Mangsa banjir di Johor, Melaka meningkat sedikit

Bagaimanapun jumlah mangsa banjir di Perak, Kedah dan Selangor merekodkan penurunan.

Jumlah mangsa banjir di PPS di Melaka dan Johor menunjukkan sedikit peningkatan malam tadi iaitu masing-masing 23 orang dan 582 orang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka dan Johor meningkat sedikit malam tadi manakala di Perak, Kedah dan Selangor merekodkan penurunan.

Di Melaka, jumlah mangsa meningkat kepada 23 orang daripada enam keluarga setakat 8 malam, berbanding 16 mangsa daripada tiga keluarga pada 4 petang semalam.

Menurut aplikasi InfoBencanaJKM, kesemua mangsa tersebut ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel, Jasin yang mula dibuka pada 12 tengah hari semalam.

Di Johor, mangsa banjir yang ditempatkan di lapan PPS di negeri itu meningkat sedikit kepada 582 orang daripada 158 keluarga pada 8 malam ini, berbanding 530 mangsa daripada 147 keluarga pada 4 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Azmi Rohani, berkata tiga daerah masih terjejas iaitu Kluang dengan empat PPS iaitu di Dewan Kampung Kolam Air, SK Sungai Linau, Dewan Terbuka Kampung Paya Palembang dan Balai Raya Parit Haji Hashim.

Beliau berkata di daerah Pontian, tiga PPS masih beroperasi iaitu di SK Seri Anom, SK Parit Markom dan Kompleks Muafakat Kampung Sungai Pinggan, manakala satu PPS di Batu Pahat iaitu di SK Seri Bunut.

“Keadaan cuaca dilaporkan cerah untuk semua daerah. Tiga sungai iaitu Sungai Sembrong di Batu Pahat, Sungai Kesang di Tangkak dan Sungai Sayong di Kulai berada pada paras amaran.

“Manakala tujuh sungai iaitu Sungai Benut (Pontian), Sungai Lenik (Batu Pahat), Sungai Sarang Buaya (Muar), Sungai Muar dan Sungai Kesang (Tangkak), Sungai Jemaluang (Mersing) serta Sungai Johor (Kota Tinggi) berada pada paras waspada,” katanya dalam kenyataan semalam.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan mangsa banjir malam ini berkurangan kepada 298 orang daripada 84 keluarga, yang ditempatkan di empat PPS berbanding 303 orang daripada 84 keluarga petang semalam.

Menurut sekretariat itu, mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Padang Tembak di Teluk Intan berkurangan kepada 131 orang daripada 36 keluarga.

“Bagaimanapun, di Kerian jumlah mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di bertambah kepada 70 orang daripada 19 keluarga berbanding 63 orang daripada 18 keluarga, petang tadi manakala jumlah mangsa banjir di PPS SK Parit Haji Aman kekal dengan 50 orang daripada 15 keluarga.

“Mangsa banjir di PPS SK Matang di Taiping berkurangan kepada 47 orang daripada 14 keluarga berbanding 50 orang daripada 15 keluarga petang tadi,” menurut sekretariat berkenaan.

Di Kedah, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 305 orang daripada 89 keluarga di tiga PPS setakat 8 malam tadi, berbanding 325 orang daripada 93 keluarga petang semalam.

“Di daerah Kubang Pasu, seramai 167 orang daripada 58 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dan Dewan PPK Lubuk Batu manakala di daerah Pendang seramai 138 orang daripada 31 keluarga ditempatkan di Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Bata di Kampung Bata dan Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar telah melepasi paras bahaya.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS malam tadi mencatatkan penurunan daripada 248 mangsa membabitkan 50 berbanding 186 individu daripada 39 keluarga petang semalam.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga PPS di Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang, SK Ijok dan SK Bukit Badong masih beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir dari dua daerah iaitu Gombak dan Kuala Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.