
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata ketika ini hanya tiga kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (EoL) di SPS, iaitu Persiaran Jawi Golf Resort, Jalan Sungai Duri dan Taman Widuri masih mengalami gangguan disebabkan penggunaan air sangat tinggi di SPT dan SPS sejak 6 Okt.
“Majoriti tangki air dan takungan di kawasan terjejas akibat SWSI baru-baru ini telah kering dan dalam tempoh 48 jam lepas, majoriti pengguna di kawasan terjejas mengambil sejumlah besar air untuk kegunaan segera dan penyimpanan semula.
“Berdasarkan data Pusat Kawalan Bekalan Air Pulau Pinang, PBAPP mengepam antara 160 dan 180 juta liter air sehari (JLH) dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU) untuk bekalan kepada pengguna di SPT dan SPS sejak 6 Okt (Ahad),” katanya dalam kenyataan.
Pathmanathan turut memaklumkan sejak kerja pembaikan saluran paip di Jalan Pengkalan Tambang, Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh dan Jalan Kubang Semang siap Ahad lepas, PBAPP mengeluarkan volum optimum sebanyak 1,047 JLH di LRA Sungai Dua.
Beliau berkata, PBAPP akan terus melaksanakan tindakan di lapangan bagi mencapai pemulihan bekalan 100% hari ini, termasuk kerja “de-airing” saluran paip di lokasi yang menjejaskan bekalan air di tiga kawasan terakhir yang terlibat dan memeriksa serta menyemak semula kemungkinan punca isu bekalan air yang lain.
Pathmanathan berkata, pihaknya juga menghasilkan dan mengepam air sebanyak mungkin daripada LRA Bukit Panchor di SPS untuk melengkapkan bekalan air terawat di daerah tersebut.
Kira-kira 118,000 akaun pengguna di lebih 40 kawasan di SPT dan SPS mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 24 jam bermula 10 malam 4 Okt hingga 10 malam 5 Okt, namun menjadualkan semula pemulihan bekalan disebabkan insiden luar jangka pada kerja pembaikan paip di Jalan Pengkalan Tambang, SPU.
Langkah itu bagi membolehkan PBAPP membaiki kebocoran paip yang menjejaskan perkhidmatan di SPT dan SPS susulan penyambungan serta penggantian saluran paip baharu sepanjang 180m dekat kampus Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh yang menelan kos RM2 juta.