Saksi tak dapat sahkan Amri mangsa culik, kata pegawai penyiasat

Saksi tak dapat sahkan Amri mangsa culik, kata pegawai penyiasat

Khor Yi Shuen beritahu mahkamah bahawa dua saksi itu tidak dapat kenal pasti mangsa kerana melihat kejadian dari jauh dalam keadaan gelap.

Norhayati Ariffin menyaman kerajaan dan polis berhubung penculikan suaminya, aktivis Amri Che Mat pada November 2016.
KUALA LUMPUR:
Pegawai penyiasat kes kehilangan Amri Che Mat memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dua saksi berpotensi tidak dapat mengesahkan bahawa individu yang diculik di Kangar lapan tahun lepas ialah aktivis tersebut.

Khor Yi Shuen berkata, keterangan Syed Amri Abd Jalil dan Saiful Afdzan Seinei tidak cukup kukuh kerana kedua-duanya tidak dapat mengenal pasti secara positif mangsa culik pada 24 Nov 2016 di Kampung Pahang Behor itu ialah Amri.

Kedua-duanya berkata, mereka melihat kejadian dari jauh dalam keadaan gelap, menurut Khor. Mereka juga tidak membuat laporan polis mengenai apa yang mereka lihat.

Khor berkata demikian dalam keterangannya berhubung saman yang difailkan oleh isteri Amri, Norhayati Ariffin, terhadap kerajaan dan beberapa pegawai polis, termasuk dirinya, berhubung siasatan yang dijalankan terhadap kehilangan aktivis itu.

Saman itu mendakwa, defendan melanggar undang-undang dan kewajipan statutori mereka, melakukan misfeasans (salah laku) dalam jawatan awam dan cuai ketika melaksanakan tanggungjawab,

Khor berkata, laporan polis juga tidak dibuat oleh dua individu lain – Shah Rizal Abdul Manan dan Vee Yak a/l Ban Jong – yang didakwa melihat tiga kenderaan diletakkan di luar rumah Amri sebelum aktivis itu hilang.

Tambahnya, oleh sebab tiada wang tebusan dituntut daripada keluarga Amri, kes itu diklasifikasikan sebagai ‘orang hilang’.

Apabila ditanya Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin sama ada polis melakukan sekatan jalan raya di sempadan negeri sebagai sebahagian usaha mengesan Amri, Khor menjawab tidak.

Beliau turut menafikan polis menghentikan siasatan berhubung kehilangan Amri. Katanya, kertas siasatan telah dihantar ke Bukit Aman.

Pendengaran kes akan terus berlangsung di hadapan Hakim Su Tiang Joo pada 21 Okt.

Pada hari kejadian, Amri meninggalkan rumahnya di Kangar, Perlis, pada kira-kira 11.30 malam. Keretanya ditemukan di tapak pembinaan Sekolah Sukan Bukit Cabang awal pagi keesokan harinya.

Inkuiri awam Suhakam antara 2017 hingga 2019 mencapai kesimpulan bahawa Amri ialah mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh kerajaan, khususnya Cawangan Khas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.