
“Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga anggota biasa bertugas di IPD Kajang dan kes ini tidak libatkan ketua balai,” kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan pada sidang media.
Beliau berkata mereka telah dipindahkan ke bahagian pengurusan di IPK Selangor sementara menunggu hasil siasatan.
Menurut laporan media semalam, ketiga-tiga pegawai polis itu antara 14 individu ditahan di pusat hiburan pada Sabtu dan kemudian disahkan positif dadah.
Hussein juga membetulkan dakwaan bahawa seorang sarjan ditahan kerana menganjurkan parti di IPD Shah Alam pada 28 Sept.
“Dia sebenarnya seorang koperal dan telah dipindahkan serta-merta ke luar Selangor,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Tambahnya, tiga penyelia koperal itu, yang berpangkat sarjan, sarjan mejar dan inspektor, juga dipindahkan ke negeri lain, termasuk Johor dan Kelantan, kerana gagal mengawasi orang bawahan secukupnya.
Berhubung perkembangan lain, Hussein berkata, polis mengenal pasti tiga saksi bagi membantu siasatan berhubung pembuangan lapan tong cecair dipercayai sisa kimia ke dalam longkang di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh.
Tong-tong itu ditemukan oleh orang awam pada 24 Sept.
Bomba telah memindahkan tong-tong tersebut ke tapak pelupusan di Bukit Tagar, Kuala Selangor.