
Calon naib ketua Pemuda yang juga Adun Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah, berkata pihak menyebarkan naratif itu adalah golongan ‘kembiri politik’ yang tidak mempunyai tujuan selain untuk melemahkan kesatuan dalam parti.
“Tuduhan seperti ini bukan sahaja tidak benar, malah cubaan licik untuk merosakkan semangat kekitaan, kesatuan dan solidariti yang semakin kukuh dalam Bersatu,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, FMT melaporkan sumber dalaman parti mendedahkan pemilihan Bersatu bakal menjadi gelanggang pertarungan kuasa antara dua tokoh utama itu.
Sumber mendedahkan kedua-dua pemimpin itu, yang berasal daripada Umno dan PKR, menyasarkan untuk meletakkan proksi atau orang kanan mereka memegang jawatan penting, termasuk Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan sayap parti itu.
Bagaimanapun, Izhar menegaskan pemilihan kali ini bukan mengenai perpecahan atau pertembungan antara mana-mana individu sebaliknya ia adalah proses demokrasi untuk ahli Bersatu memilih kepimpinan terbaik.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak menolak dakyah yang tidak bertanggungjawab dan bersama bergerak ke hadapan untuk memperkukuhkan Bersatu di segenap peringkat.
“Saya yakin, dengan komitmen dan kebijaksanaan setiap ahli, pemilihan kali ini akan membawa kepada penyatuan yang lebih erat bukannya perpecahan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu mengisi jawatan timbalan presiden selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti 2024-2027.
Manakala, Azmin mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan tertinggi dalam pemilihan, sebaliknya memilih untuk hanya mempertahankan ketua bahagian Gombak.