Cuti hujung minggu Johor kembali Sabtu, Ahad mulai 2025

Cuti hujung minggu Johor kembali Sabtu, Ahad mulai 2025

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berharap semua pihak beri ruang dan masa secukupnya untuk pekerja Muslim tunai solat Jumaat.

johor bahru skyline
Cuti hujung minggu Johor ditukar kepada Jumaat dan Sabtu pada 1 Jan 2014. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Cuti hujung minggu di Johor akan kembali kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Jan tahun depan.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berkata baginda sudah menitahkan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dan mufti Johor mengadakan perbincangan serta meneliti perkara itu dari setiap sudut dan aspek.

“Selepas mendapat perkenan dan restu ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Jan 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Tunku Ismail berharap semua syarikat swasta, kerajaan dan pihak berkaitan akan memberi ruang dan masa mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya.

Pada 1 Jan 2014, Sultan Ibrahim mengubah cuti mingguan Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Islam sebagai agama rasmi Johor.

Perubahan itu sebelum ini sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal iaitu Jumaat dan Sabtu yang dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah negeri Melayu tidak bersekutu.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula 1994 apabila ia ditukar ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.