‘Presiden hanya cadang’, Adun Kuang nafi langgar arahan tiada pertandingan top 5

‘Presiden hanya cadang’, Adun Kuang nafi langgar arahan tiada pertandingan top 5

Rafiq Abdullah menjelaskan beliau layak dari segi syarat untuk bertanding kerusi naib presiden.

Rafiq Abdullah menawarkan diri untuk mengisi satu daripada tiga jawatan naib presiden pada pemilihan Bersatu bulan depan. (Gambar Bersatu)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah menepis tanggapan dirinya melanggar arahan parti apabila bertanding jawatan naib presiden yang sebelum ini dicadangkan tidak dipertandingkan.

Adun Kuang itu berkata beliau menawarkan diri merebut satu daripada tiga jawatan itu kerana ingin menyuburkan proses demokrasi pada pemilihan bulan depan.

“Saya menawarkan diri sebab layak bertanding dari segi syarat-syarat, presiden (Muhyiddin Yassin) sebelum ini hanya mencadangkan (pelan kompromi) dan bukan arahan (tiada tandingan bagi jawatan lima teratur termasuk naib presiden).

“Saya masuk bertanding supaya demokrasi subur, perwakilan boleh pilih pemimpin mereka mahu,” katanya kepada FMT sambil menolak perebutan jawatan akan menyebabkan perpecahan.

“Kami bertanding dalam keluarga, berintegriti dan saling menghormati…tiada kutuk mengutuk atau sogokan. Mereka yang kalah tidak akan tinggalkan parti.”

Selain Rafiq, mereka yang menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden termasuk dua penyandangnya Ronald Kiandee dan Radzi Jidin selain Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu.

Ketua Penerangan Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.

Julai lalu, Muhyiddin dipetik berkata beliau diberi mandat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berunding dengan barisan kepimpinan parti bagi memastikan pemilihan tidak mengakibatkan perpecahan dalam parti.

Menerusi ‘pelan kompromi’, Muhyiddin akan kekal memegang tampuk pemerintahan Bersatu dibantu Setiausaha Agung Hamzah Zainudin manakala Kiandee, Radzi serta Faizal sebagai naib presiden, menyaksikan tiada pertandingan untuk lima jawatan utama.

Selepas pencalonan dimuktamadkan minggu ini, Muhyiddin dan Hamzah tidak dicabar selaku presiden serta timbalan presiden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.