Mangsa bah 4 negeri meningkat

Mangsa bah 4 negeri meningkat

Hujan lebat petang tadi menjadi punca pertambahan mangsa di Selangor, Johor, Perak, dan Kedah.

Mangsa banjir di daerah Kluang turut meningkat kepada 195 orang pada 8 malam ini, berbanding 116 mangsa petang tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hujan lebat petang tadi menyebabkan jumlah mangsa banjir dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor, Perak, Johor, dan Kedah terus merekodkan peningkatan malam ini.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir yang berkurangan petang tadi kembali meningkat 277 mangsa daripada 56 keluarga, kepada 281 mangsa daripada 57 keluarga.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga PPS iaitu PPS Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang, Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok, dan SK Bukit Badong masih beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir dari dua daerah iaitu Gombak dan Kuala Selangor.

Situasi yang sama turut berlaku di Perak, apabila jumlah mangsa banjir di PPS kembali meningkat kepada 234 daripada 64 keluarga, berbanding 225 daripada 61 keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan empat PPS masih beroperasi di tiga daerah iaitu Kerian (108 mangsa); Matang (50 mangsa), dan Hilir Perak (76 mangsa).

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri memaklumkan laluan FT 147 Jalan Bagan Serai-Changkat Lobak dan FT 076 Jalan Kuala Kangsar – Gerik – Pengkalan Hulu ditutup susulan tanah runtuh dan pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif serta sentiasa berjaga-jaga.

Di Johor, mangsa banjir di daerah Kluang turut meningkat kepada 195 orang pada 8 malam ini, berbanding 116 mangsa petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Azmi Rohani, dalam kenyataan berkata seramai 155 mangsa daripada 44 keluarga dipindahkan ke PPS SK Dato’ Onn Jaafar dan 40 mangsa daripada 16 keluarga ditempatkan di SK Seri Kampung Renggam.

Beliau berkata, semua mangsa dipindahkan setelah kediaman masing-masing di Taman Suria, Taman Rekamas, dan Kampung Seri Tengah Renggam dinaiki air.

Di Kedah, satu lagi PPS dibuka iaitu di daerah Pendang di Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah sekali gus menjadikan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 229 orang daripada 69 keluarga ditempatkan di dua PPS, malam ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata 48 mangsa daripada 11 keluarga dipindahkan ke PPS baharu berkenaan, manakala satu lagi PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Kubang Pasu yang dibuka pada 2.30 pagi tadi, kini menempatkan 181 mangsa daripada 58 keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.