Jalan tutup sekat protes Islamabad, petugas media Malaysia lalui pengalaman cemas

Jalan tutup sekat protes Islamabad, petugas media Malaysia lalui pengalaman cemas

Petugas media Malaysia terpaksa menggunakan jalan berliku di kawasan terpencil, mengambil masa 3 jam untuk sampai ke lapangan terbang.

Petugas media Malaysia terpaksa melalui ceruk kampung dan kawasan terpencil di Islamabad pada waktu malam menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke lapangan terbang, susulan penutupan lebuh raya dan jalan raya biasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sekumpulan petugas media dari Malaysia berdepan detik mendebarkan selama tiga jam semalam apabila terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad bagi menaiki pesawat pulang ke tanah air.

Petugas media Bernama, RTM, TV3 dan Astro Awani – yang membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Pakistan pada 2 hingga 4 Okt lepas – menempuh perjalanan berliku melalui ceruk kampung dan pekan kecil untuk sampai ke lapangan terbang, susulan penutupan lebuh raya dan jalan raya biasa.

Tindakan itu diambil oleh polis dan tentera yang lengkap bersenjata bagi menghalang protes besar-besaran oleh penyokong bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan.

“Kebiasaannya, perjalanan dari hotel kami di tengah-tengah Islamabad ke lapangan terbang antarabangsa itu hanya mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja,” kata jurugambar Bernama Ahmad Iskandar Kamaruzaman.

“Bagaimanapun disebabkan sekatan jalan raya menyeluruh, kami terpaksa menggunakan laluan alternatif di ceruk-ceruk kampung dan pekan kecil Islamabad pada waktu malam, mengambil masa lebih tiga jam untuk tiba di lapangan terbang.”

Petugas media Malaysia berterima kasih kepada pegawai dan pemandu warga tempatan kedutaan Malaysia ke Pakistan yang bekerja keras memastikan mereka dapat tiba di lapangan terbang walaupun terpaksa menggunakan laluan alternatif yang jauh dan berliku pada waktu malam.

“Tanpa bantuan pegawai-pegawai kedutaan, Encik Amri dan Encik Anwar, serta pemandu warga Pakistan yang cekap, tidak mungkin petugas media Malaysia dapat tiba di lapangan terbang pada waktu sepatutnya untuk menaiki penerbangan pulang ke Malaysia. Terima kasih,” kata Ahmad Iskandar, lapor Bernama.

Lebih mencemaskan, liputan telefon bimbit di seluruh Islamabad disekat oleh pihak berkuasa, dipercayai antara usaha menyekat kehadiran ribuan penyokong Imran di beberapa lokasi protes di seluruh Islamabad.

Imran juga ialah pengasas kepada parti politik Tehreek-e-Insaf.

Sementara itu, wartawan Bernama Mohd Haikal Isa berkata, perjalanan kenderaan pacuan empat roda itu amat mencabar kerana mereka terpaksa menempuh keadaan jalan raya yang bukan sahaja amat gelap tetapi juga berlumpur akibat hujan lebat, melalui kawasan perkuburan dan laluan kereta api di kawasan terpencil.

“Menurut pegawai kedutaan, walaupun protes politik bukan asing di Islamabad, tetapi apa yang dialami dalam satu dua hari ini adalah yang terburuk dalam waktu terdekat, dengan pihak berkuasa meletakkan puluhan kontena di tengah jalan raya untuk menghalang kemaraan penyokong Imran,” kata Mohd Haikal, yang juga editor eksekutif Bernama.

Penyokong bekas perdana menteri Pakistan yang kini dipenjarakan itu dijangka meneruskan protes pada hari ini dan pasukan keselamatan mengekalkan kawalan ketat di keseluruhan kawasan ibu negara Pakistan.

Kawalan ketat pihak berkuasa di Islamabad dijangka berterusan hingga sidang kemuncak Shanghai Cooperation Organisation (SCO) di negara itu yang akan diadakan pada 15 hingga 16 Okt ini, dihadiri pemimpin Rusia, China, India, Iran, Turki dan beberapa negara lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.