
Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata mereka yang dikesan terbabit adalah ahli atau pemimpin yang sudah keluar parti sebelum aktif kegiatan GISBH.
“Ahli PAS tidak ada terlibat GISBH, yang terlibat ini (mereka) yang sudah keluar (lebih awal) daripada PAS,” katanya selepas program munaqasyah ucapan dasar Presiden PAS Hadi Awang ke-70 peringkat Selangor.
Beliau mengulas ura-ura dakwaan ada ahli dan pemimpin PAS terbabit dengan GISBH yang berbangkit susulan kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, 22 Sept lalu.
Takiyuddin meminta siasatan pihak berkuasa terhadap GISBH dibuat secara cermat dan teliti supaya tidak menghukum ahli tidak bersalah, selain mengelak tindakan berlebihan-lebihan.
Pada 14 Sept lalu, Hadi menafikan dakwaan dalam laporan media antarabangsa bahawa parti itu dan ahlinya ada kaitan dengan GISBH yang sedang disiasat, termasuk berkait isu eksploitasi kanak-kanak.
Setakat ini, Perlis, Selangor dan Pahang mengeluarkan fatwa yang kegiatan GISBH menyeleweng Islam dan sesat antaraya kerana meneruskan kepercayaan al-Arqam selain mempercayai Ashaari Muhammad tidak mati.
Berhubung perkara berasingan, Fadhli yang juga wakil rakyat Pasir Mas menafikan memuji pemimpin Komunis Mao Zedong dengan menggunakan kata-kata azimatnya seperti didakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi.
“Saya tak payah jawablah yang sinis-sinis (Puad) sebab saya tak belajar di sekolah komunis. Orang lain yang belajar, saya juga tak akui kebaikan.
“Bukan saya yang terima komunis, saya bercakap dengan orang berkemungkinan graduan sekolah Komunis mungkin dia mudah menerima kata-kata daripada komunis,” katanya menjawab dakwaan Puad.
Terdahulu, Puad secara sinis memuji Fadhli kerana menggunakan kata-kata azimat Mao dalam menjawab kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada PRK Mahkota, minggu lalu.