Sebelum 1MDB, Jho Low pernah cuba ambil alih DRB-Hicom, dedah buku

Sebelum 1MDB, Jho Low pernah cuba ambil alih DRB-Hicom, dedah buku

Penulis Leslie Lopez usaha ahli perniagaan itu mendapat perhatian penasihat perdana menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi.

jho low
Jho Low dikatakan mendapat pengajaran berguna mengenai hubungan politik ketika cuba mengambil alih DRB-Hicom susulan kematian pengasasnya Yahaya Ahmad pada 1997. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Low Taek Jho, seorang ahli perniagaan muda yang menjadi tumpuan utama skandal 1MDB mendapat pengajaran mengenai pentingnya ada hubungan politik ketika cuba mengambil alih DRB-Hicom pada hujung 90an, menurut buku baharu seorang wartawan.

Dalam buku ‘The Siege Within’, penulis Leslie Lopez mendedahkan bahawa Low atau dikenali sebagai Jho Low – cuba mengambil alih syarikat gergasi automotif tersebut selepas pengasasnya, Yahaya Ahmad, meninggal dunia pada 1997.

Yahaya Ahmad
Yahaya Ahmad.

Sebelum pemergiannya, Yahaya berusaha memastikan kawalan kepentingan dalam syarikat tersebut akan diserahkan kepada amanah keluarga jika dia meninggal dunia.

Bagaimanapun, pada Mac 2004, amanah keluarga tersebut gagal membayar balik pinjaman kepada beberapa bank, tulis Lopez. Namun, institusi kewangan tersebut tidak boleh sewenang-wenangnya menjual kepentingan itu kepada pembida tertinggi.

“Datanglah kumpulan Low. Dalam persaingan korporat untuk konglomerat itu, dia menunjukkan pengaruhnya dengan mendapatkan pelabur berpotensi dari Abu Dhabi dan Arab Saudi untuk melawat syarikat tersebut, bagi menunjukkan bahawa bidaan Wynton Capital mempunyai sokongan antarabangsa yang kukuh,” tulis Lopez.

The Siege Within - Book Review
Buku ‘Siege Within’ ditulis oleh wartawan terkenal Leslie Lopez.

Wynton Capital adalah syarikat korporat peribadi milik Low, di mana pemegang sahamnya kemudiannya termasuk individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri.

Bidaan Low mendapat perhatian pasukan penasihat perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, Lopez berkata, kumpulan Low itu sedang berusaha menjalin hubungan lebih rapat dengan Najib Razak, ketika itu timbalan perdana menteri.

Lopez mendakwa kumpulan Low mendapat galakkan daripada penasihat Abdullah untuk bekerjasama dengan seorang ahli perniagaan yang terkemuka dalam industri automotif.

Semua kelihatan seperti dirancang Low sehingga 3 Dis 2004, apabila seorang pembantu Abdullah memberitahu media bahawa kerajaan mahu memberikan kepentingan dalam DRB-Hicom kepada kumpulan yang diketuai oleh ahli perniagaan tersebut.

Selepas solat Jumaat pada hari itu, Abdullah tiba-tiba berubah fikiran dan mengumumkan bahawa taikun Syed Mokhtar Albukhary akan diberikan kepentingan 15.8% dalam DRB-Hicom Berhad.

Low, yang bekerja di belakang tabir, tidak menerima kegagalan itu dengan baik, kata Lopez.

Peristiwa ini menjadi pengajaran penting bagi Low dalam merangka perancangannya untuk kembali semula.

“Di negara di mana hubungan politik adalah penting, kegagalan Low terbukti membawa padah,” tulis Lopez.

Low dianggap sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB yang terkenal, yang disifatkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sebagai ‘kes kleptokrasi terbesar setakat ini’.

Kes ini menyaksikan Najib disabitkan bersalah dan dipenjarakan, manakala Low masih bebas dan bersembunyi.

‘The Siege Within’ kini boleh dibeli secara dalam talian di Kinokuniya, Lit Books dan Amazon Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.