Lestari Niaga@Kuala Lumpur selesakan 2,621 peniaga cari rezeki

Lestari Niaga@Kuala Lumpur selesakan 2,621 peniaga cari rezeki

83 projek inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya.

Kompleks Makanan Tanglin berubah wajah selepas kerja naik taraf di bawah Lestari Niaga@Kuala Lumpur siap pada 15 Mei lalu.
KUALA LUMPUR:
Usaha memperkasakan peniaga serta penjaja kecil sering menjadi agenda utama kerajaan kerana sumbangannya kepada ekonomi dan membantu individu meningkatkan pendapatan.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan kerana statusnya sebagai ibu negara dan pusat pertumbuhan ekonomi, kerajaan memperkenalkan inisiatif Lestari Niaga@Kuala Lumpur pada tahun 2023 dan 2024 dengan peruntukan RM41.5 juta diumum Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Inisiatif di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu memfokuskan pelaksanaan 83 projek dalam usaha menaik taraf serta mengindahkan kemudahan di 76 lokasi gerai makanan dan pasar bagi mewujudkan suasana lebih kondusif.

Menjelang penghujung 2024, manfaatnya mula dirasai 2,621 peniaga dan penjaja kecil yang kini dapat mencari rezeki dengan lebih selesa dan menarik lebih ramai pelanggan.

Kompleks Makan Tanglin yang terletak di Jalan Cenderasari berdekatan Taman Botani Perdana antara kemudahan dinaik taraf di bawah Lestari Niaga@Kuala Lumpur.

Jika dahulu premis terbabit hanya menempatkan 78 tempat duduk, kini kapasitinya meningkat kepada 296 tempat duduk yang selesa.

Bagi memudahkan pelanggan, lot tempat letak kereta juga ditambah daripada 106 kepada 136 termasuk petak khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Sewa gerai makanan di D’Anjung Selera Madani di Bandar Tun Razak diturunkan daripada RM400 kepada RM200.

Kerja naik taraf bermula pada awal tahun 2023 yang lalu turut merangkumi pembinaan bumbung depan dan sisi, pemasangan lantai baharu, pengindahan lanskap, kerja – kerja mengecat dan pembaikan serta penyelenggaraan berkala.

Rosnah Husin yang mengusahakan perniagaan ikan bakar bersama suaminya sejak 20 tahun lalu bersyukur melihat perubahan itu dan berterima kasih kepada kerajaan di atas inisiatif Lestari Niaga@Kuala Lumpur.

“Kalau dulu sekadar berbumbungkan kanopi kanvas, bila hujan… bocor air masuk, dengan angin tiup, tiang patah (dan) macam-macam lagi.

“Kami bersyukur sangat sebab tempat ini sudah bersih, menarik, pengunjung selesa, penambahan tempat letak kereta, ada surau, tandas pun berfungsi baik,” katanya dilaporkan Astro Awani.

Di bawah inisiatif ini juga, 165 gerai dan penjaja haram di sekitar Bazaria Wangsa Maju telah ditempatkan di beberapa lokasi pusat penjaja DBKL yang lain bagi tujuan penyusunan dan dilesenkan untuk pengoperasian.

Kewujudan kompleks penjaja ini berjaya menangani isu gangguan lalu lintas dan penggunaan utiliti termasuk elektrik dan air tanpa kebenaran.

Turut menerima manfaat peniaga D’Anjung Selera Madani di Bandar Tun Razak yang mana 24 gerai makanan dan tiga kiosk dinaik taraf dengan kemudahan moden, lebih bersih selain kapasiti tempat letak kereta yang ditingkatkan kepada 48 petak.

Kadar sewa bagi gerai juga dikurangkan daripada RM400 kepada RM200, yang membantu mengurangkan kos operasi kepada peniaga.

D’Medan Selera Madani di Kompleks Tun Sambanthan dan Kedai Bungai Little India, Brickfields juga menerima limpahan manfaat daripada inisiatif Lestari Niaga@Kuala Lumpur.

Sebanyak 76 pusat penjaja dan gerai milik DBKL di lokasi tumpuan orang ramai ini telah terlibat dalam kerja-kerja naik taraf infrastruktur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.