Guna pengaruh politik banteras sentimen benci warga asing, Anwar digesa

Guna pengaruh politik banteras sentimen benci warga asing, Anwar digesa

Shahril Hamdan berkata, PM partinya harus menggunakan modal politik mereka yang besar untuk mencetus pembaharuan yang mungkin tidak popular.

Anwar Ibrahim digesa mempamerkan kepimpinan moral demi manfaat masyarakat yang kurang bernasib baik di Malaysia, termasuk warga asing dan pelarian. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar memanfaatkan pengaruh politiknya untuk membanteras sikap membenci warga asing dan pelarian.

“Saya rasa Anwar dan partinya PKR mempunyai modal politik besar yang boleh digunakan sekarang. Sebahagian daripadanya harus digunakan dalam reformasi sosial yang mungkin tidak popular,” katanya pada perbincangan mengenai pelarian Myanmar hari ini.

Shahril berkata, Anwar boleh mempamerkan kepimpinan moral ‘dengan kemahiran berpidato yang unggul dan pemahaman tentang keadilan sejagat’ untuk manfaat masyarakat yang kurang bernasib baik di Malaysia, ‘termasuk pelarian’.

Katanya, kerajaan Anwar kini mempunyai majoriti selesa di Parlimen dan Anwar tidak seharusnya menunggu masa yang sesuai untuk memulakan perubahan bermakna.

“Kalau tidak, pada PRU akan datang, akan ada banyak lagi alasan kenapa belum tiba masanya untuk ubah,” tambahnya.

Beliau berkata, kepimpinan moral ahli politik diperlukan untuk mengubah sentimen negatif orang ramai terhadap komuniti pelarian.

Katanya, beliau bukan sahaja merujuk kepada komen antagonis di media sosial terhadap rakyat Palestin yang mencetuskan kekecohan di Wisma Transit baru-baru ini, tetapi juga diskriminasi terhadap pelarian dan pekerja asing, khususnya warga Myanmar.

Anwar lantang mengkritik junta tentera di Myanmar dan menggesa anggota Asean supaya lebih aktif dalam menangani krisis di negara itu.

Bagaimanapun, beliau masih belum membuat kenyataan secara terbuka mengenai ucapan benci terhadap pelarian, atau menangani seruan akses sama rata bagi pekerjaan, penjagaan kesihatan dan pendidikan buat pelarian.

Shahril bercakap dengan FMT selepas menyertai perbincangan meja bulat anjuran Dari Dapur dan Coalition of Burma Ethnics Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.