Gempur Taman Sri Muda, 602 pendatang asing dicekup

Gempur Taman Sri Muda, 602 pendatang asing dicekup

Operasi digerakkan Majlis Keselamatan Negeri susulan lambakan warga asing dikhuatiri melanggar Akta Imigresen dan kesalahan lain.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata mereka ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat permit, dan tinggal lebih masa.
SHAH ALAM:
Sebanyak 602 pendatang tanpa izin ditahan hasil pemeriksaan terhadap 1,091 warga asing dalam operasi bersepadu diketuai imigresen di Pusat Perniagaan Taman Sri Muda, Seksyen 25.

Menteri Besar Amirudin Shari, berkata semua yang berusia antara 19 hingga 53 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Beliau berkata, antara kesalahan ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat permit, dan tinggal lebih masa dengan semuanya dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.

“Menerusi Majlis Keselamatan Negeri Selangor, kita (kerajaan Selangor) telah mengambil satu keputusan untuk dilaksanakan satu Operasi Bersepadu melibatkan semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang diselaraskan di bawah Jawatankuasa Perancang Gerakan Negeri.

“Daripada maklumat serta dapatan siasatan menunjukkan masih terdapat lambakan warga asing yang dikhuatiri melanggar akta-akta imigresen dan kesalahan lain,” katanya.

Amirudin yang juga pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Selangor ditemui pemberita di lokasi serbuan berkenaan.

Operasi terbabit tamat kira-kira 2.30 petang selepas hampir dua jam dilaksanakan.

Beliau berkata, operasi berkenaan dengan koordinasi yang baik antara pasukan terlibat akan dijalankan berterusan bagi mengawal kemasukan dan lambakan warga asing di seluruh Selangor.

Operasi itu melibatkan kekuatan 445 pegawai dan anggota diketuai imigresen dibantu Pasukan Gerakan Am Briged Tengah, polis, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara, serta Majlis Bandaraya Shah Alam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.